Jumaat, 5 Jun 2020 | 2:00pm
Perasaan Nadzmi Adhwa bercampur baur apabila melihat isteri melawan kesakitan melahirkan anak. - Foto Instagram Nadzmi Adhwa
Perasaan Nadzmi Adhwa bercampur baur apabila melihat isteri melawan kesakitan melahirkan anak. - Foto Instagram Nadzmi Adhwa

16 jam berjuang lahir anak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ardell Aryana selamat melahirkan anak sulung di sebuah hospital swasta, jam 2.22 pagi tadi selepas berjuang menahan kesakitan selama 16 jam.

Bagaimanapun, bayi seberat 2.67 kilogram itu dilahirkan secara normal. Berita gembira dikongsi suami Ardell, Nadzmi Adhwa menerusi laman Instagramnya.

Namun, jantina dan nama anak hanya akan didedahkan selepas tujuh hari.

"Alhamdulillah, selepas lebih 16 jam bertarung nyawa dalam dewan pembedahan, isteri selamat melahirkan anak sulung kami, pagi tadi.

"Keadaan isteri dan bayi sihat serta selamat. Isteri sedang berehat pada ketika ini. Terima kasih pada mereka yang mendoakan baik-baik untuk kami," katanya kepada BH Online.

Pelakon Busut Bonang itu berkata, perasaannya kini bercampur baur.

"Tak tahu nak gambarkan perasaan saya. Sedih, sayu dan gembira semuanya bercampur baur apabila melihat kesakitan dan perjuangan isteri. Ia satu pengalaman berharga.

"Momen melihat isteri melahirkan anak membuatkan saya terfikir, betapa besar pengorbanan seorang ibu yang melahirkan anak.

"Lebih manis apabila permata hati lahir pada Jumaat yang juga penghulu segala hari," katanya.

Berita Harian X