Isnin, 1 Jun 2020 | 11:01am
Bunga Citra Lestari bukan sahaja memaparkan sambutan lebaran yang disifatkan sebagai normal baharu, malah mengimbau momen manis pernah dilalui bersama arwah suami pada Aidilfitri, tahun lalu.
Bunga Citra Lestari bukan sahaja memaparkan sambutan lebaran yang disifatkan sebagai normal baharu, malah mengimbau momen manis pernah dilalui bersama arwah suami pada Aidilfitri, tahun lalu.

'Meski ragamu tiada, jiwamu selalu bersama' - BCL

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) berkongsi pengalaman meraikan Aidilfitri tanpa suami tersayang, Allahyarham Ashraf Sinclair menerusi video BCL - Dear Love dalam laman YouTube.

Menerusi video itu, penyanyi Cinta Sejati ini bukan sahaja memaparkan sambutan lebaran yang disifatkan sebagai normal baharu buatnya dan anak tunggal, Noah Aidan Sinclair, tetapi mengimbau momen manis pernah dilalui bersama arwah suami pada Aidilfitri, tahun lalu.

"Dear love, tidak terasa waktu berjalan begitu cepat kerana terasa baru semalam kita meraikan Aidilfitri bersama. Menjalinkan ikatan silaturahim bersama keluarga dan sahabat. Siapa sangka, ia adalah Aidilfitri terakhir untuk kita berdua," luah Bunga sebagai mukadimah untuk video durasi 11.29 saat itu.

Biarpun Ashraf sudah tiada, kata Bunga, rutin tahunan pada malam raya seperti sesi bertakbir tetap diteruskan seperti biasa. Cuma bezanya, kali ini mereka mengadakan majlis bacaan Yassin untuk disedekahkan kepada arwah.

"Pada malam raya lalu, kita sekeluarga membacakan Yassin untuk kamu, sama seperti yang dilakukan untukmu saban malam. Noah dan Opah bertakbir seperti yang kamu lakukan bersama Noah pada malam raya, tahun lalu.

"Cuma bezanya kali ini, mereka bertakbir di rumah sahaja dan kamu tiada di sisi," ungkapnya dalam nada sebak.

Meskipun kemeriahan Hari Raya sedikit suram berikutan pemergian arwah Ashraf, ditambah pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, namun Bunga dan keluarga berusaha mengekalkan tradisi seperti arwah masih ada.

"Kita mengerjakan solat Aidilfitri di rumah dengan Opah sebagai imam. Pengalaman baharu ini sangat indah. Aidilfitri kali ini sangat berbeza. Itu juga kerana keadaan COVID-19 yang membuatkan kita tak boleh keluar rumah untuk solat Aidilfitri ataupun menjalin silaturahim bersama keluarga besar dan sahabat.

"Lebaran kali ini, aku masih lagi menyediakan masakan sama seperti kamu masih ada. Aku kekalkan tradisi ini untuk memudahkan anak kita menyesuaikan diri dengan normal baharu. Meski ragamu tiada, jiwamu selalu bersama," luah Bunga menerusi video berkenaan.

Bintang jelita ini turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan keluarga penyayang dan memberi sokongan tidak berbelah bagi ketika berdepan dengan pelbagai ujian.

"Aku semakin menyedari, di sebalik segala cabaran yang datang, aku bersyukur kerana masih mempunyai keluarga untuk bergantung. Ummi (ibu Ashraf) sanggup berjauhan dengan keluarga di Malaysia selama dua bulan untuk menemani aku dan Noah di sini.

"Di sinilah berkongsi kasih sayang dan rasa cinta kerana kami tahu, itulah yang kamu mahukan," luahnya.

Sejak dimuat naik, video itu merekodkan jumlah tontonan sudah melebihi 1.7 juta.

Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Noah yang kini berusia 10 tahun. Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian mengejut Ashraf akibat serangan jantung.

Berita Harian X