Ahad, 24 Mei 2020 | 11:00am
Biarpun ibu berada di Kuching, Dayang tetap memastikan sambutan raya bersama bapa dan anak saudaranya di Kuala Lumpur, meriah dengan sajian enak. Foto IG Dayang Nurfaizah
Biarpun ibu berada di Kuching, Dayang tetap memastikan sambutan raya bersama bapa dan anak saudaranya di Kuala Lumpur, meriah dengan sajian enak. Foto IG Dayang Nurfaizah

Dayang sayu ibu jauh

KUALA LUMPUR: Sepanjang hidup Dayang Nurfaizah, belum pernah dia menyambut Aidilfitri tanpa ditemani ibu.

Malah, sejak bergelar penyanyi dan merantau di Kuala Lumpur (KL), Dayang sentiasa pulang ke kampung meraikan hari mulia bersama kedua orang tuanya.

Bagaimanapun, tahun ini, hasrat penyanyi Lelaki Teragung ini beraya dengan ibu, Nona Nahrawi, musnah apabila tidak dapat pulang ke Kuching, Sarawak berikutan larangan rentas negeri.

Mengulas perasaannya yang kali pertama beraya tanpa ditemani ibu tersayang, Dayang atau nama penuh, Dayang Nurfaizah Awang Dowty mengaku sayu dengan realiti yang terpaksa dihadapinya.

"Sebelum ini, emak dan ayah tinggal bersama Dayang. Bagaimanapun, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), emak pulang ke Kuching.

"Jadi, apabila larangan rentas negeri dikuat kuasakan, emak tidak dapat balik ke KL.

"Dayang sedih mengenangkan Aidilfitri kali ini emak tiada bersama. Paling kasihan tentunya ayah. Setiap hari, ayah asyik bertanya bila arahan rentas negeri akan berakhir," katanya.

Dayang mengerti ayah merindui ibu kerana mereka tidak pernah berenggang.

"Bayangkan, selama ini, belum pernah mereka berjauhan dan tiba-tiba terpisah.

"Dayang tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan kali pertama beraya tanpa emak. Sebelum ini, walaupun beraya di KL, emak tetap bersama Dayang.

"Untuk menghilangkan rindu, kami akan buat panggilan video ke Kuching. Itulah saja yang mampu dilakukan bagi mendekatkan kami sekeluarga," kata Dayang kepada BH Online.

Biarpun berjauhan dengan ibu, Dayang, 38, tidak mahu situasi itu menghalang dia, ayah dan anak saudaranya merasai nikmat Hari Raya.

Dayang akan pastikan menu wajib mereka sekeluarga tetap terhidang pada pagi Aidilfitri.

"Dayang suka ayam masak merah hasil air tangan emak. Menu itu biasa sahaja, tapi bila emak masak untuk Hari Raya, ada keistimewaan sikit.

"Mungkin Dayang akan telefon emak untuk mendapatkan resipi dan cara membuatnya.

"Sebelum ini, disebabkan teringin makan laksa Sarawak, Dayang cuba masak sendiri... Memang kekok. Biasanya, apabila Dayang bantu emak masak, emak pantau dan tegur secara spontan kalau ada kesilapan.

"Kali ini, memang Dayang kena pandai agak ramuan atau bahan-bahan. Orang dulu-dulu, masak ikut naluri, tak ikut sukatan pun," katanya.

Berita gembira buat peminat, pada hari kedua Syawal, penyanyi yang kebal dengan genre R&B ini akan tampil dalam showcase mini atas talian.

Untuk konsert itu, Dayang akan menyanyikan empat lagu yang pernah dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Idea menghasilkan showcase mini dicetuskan Indigital Music. Mereka merancang Dayang tampil dalam persembahan secara langsung dari YouTube rasmi Indigital Music pada jam 4 petang.

"Dayang akan menyampaikan empat lagu iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah, Lelaki Teragung dan Separuh Matiku Bercinta.

"Dayang juga mendendangkan sebuah lagu bonus berkonsepkan Hari Raya," katanya.

Sudah lama tidak beraksi di hadapan peminat, Dayang sangat teruja menghiburkan mereka di rumah.

"Walaupun ini kali pertama Dayang buat showcase tanpa penonton secara fizikal, Dayang harap aura dan sambutannya sama," katanya yang bakal diiringi piano dalam persembahan istimewa itu.

Berita Harian X