Rabu, 13 Mei 2020 | 11:00am
Pelakon, Mas Anizan bersama dua permata hatinya, Mas Aliza dan Ariana Marissa. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Pelakon, Mas Anizan bersama dua permata hatinya, Mas Aliza dan Ariana Marissa. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

Cuba resipi baharu erat hubungan bersama anak

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Sara Sajeeda, Mas Anizan banyak memanfaatkan masa dengan aktiviti memasak bersama anak-anak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa.

Rutin ibu kepada tiga cahaya mata itu tambah menyeronokkan pada Ramadan apabila banyak mencuba pelbagai resipi baharu.

"Saya mencuba pelbagai resipi masakan kampung, Cina, India dan Barat. Suasana rumah tambah gamat kerana ibu dan anak lelaki, Mohd Masli Daniel Ali bergelar chef.

"Kami anak beranak mencuba pelbagai resipi baharu dan melakukan ubah suai. Tak hanya makanan utama, kuih muih dan pemanis juga dicuba. Memang masa berkualiti saya bersama keluarga banyak di dapur," kata pelakon yang mencipta nama pada era 1990-an.

Katanya, lebih menyeronokkan dan keadaan bertambah kecoh apabila menu masakan yang dicuba tidak menjadi.

"Haru biru di dapur dibuatnya apabila menu yang disiapkan tidak menjadi. Daniel akan jadi juri kerana dia pakar dalam masakan.

"Seronok melihat gelagat masing-masing. Anak paling kecil, Ariana Marissa rajin membantu di dapur, begitu juga anak sulung, Mas Aliza Ali," katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, dia memanfaatkan masa terluang dengan menjaga badan dengan bersenam di gimnasium bersama Mas Aliza.

"Apabila berkurung di rumah, saya risau asyik makan. Menu berbuka puasa pula pelbagai hidangan dan ikut selera.

"Saya kena bersenam untuk menjaga kesihatan. Mujur, Mas Aliza jadi geng bersenam sekali. Jadi tidaklah ralat sekalipun sudah puas menjamu selera, pembakaran kalori dan lemak tetap diteruskan pada bulan puasa.

"Ada hikmah juga sebalik PKP kerana kami banyak meluangkan masa bersama. Sebelum ini, anak-anak sibuk bekerja dan ada agenda sendiri hingga mahu bertemu pun susah. Ada masanya, saya sudah tidur, mereka baru pulang bekerja," katanya.

Mas Anizan berkata, dia sudah selesai menjalani penggambaran drama bersiri sebelum tempoh PKP, malah, dia sepatutnya meneruskan penggambaran drama lain.

"Semua kerja tergendala selepas penggambaran dihentikan disebabkan isu pandemik COVID-19. Rindu nak berlakon pasti ada selepas hampir dua bulan berkurung dalam rumah. Biarpun ada kala penat berlakon, tetapi saya seronok, lebih lagi baru sahaja aktif semula," katanya.

Berita Harian X