Sabtu, 2 Mei 2020 | 2:54pm
Kenyataan Madonna mengenai tubuhnya memiliki antibodi COVID-19 menimbulkan pertanyaan netizen apakah dia pernah dijangkiti wabak berkenaan. Foto IG Madonna
Kenyataan Madonna mengenai tubuhnya memiliki antibodi COVID-19 menimbulkan pertanyaan netizen apakah dia pernah dijangkiti wabak berkenaan. Foto IG Madonna

COVID-19 : Madonna dakwa tubuh ada antibodi

KUALA LUMPUR: Ikon pop terkenal, Madonna mencetuskan kontroversi apabila mendakwa tubuhnya memiliki antibodi yang mampu melawan virus COVID-19.

Mendakwa mendapat laporan daripada ujian diambil berhubung kewujudan antibodi dalam tubuh, Madonna mengumumkan perkara itu menerusi klip video siri Quarantine Day di Instagram, kelmarin.

"Esok saya akan memulakan pemanduan jauh. Saya akan turunkan tingkap kereta sambil bernafas dan menghirup udara COVID-19. Saya harap matahari akan bersinar," katanya.

Video kira-kira dua minit memaparkan penyanyi 61 tahun ini menaip apa yang bermain dalam fikirannya, ketika itu.

Kenyataan Madonna atau nama sebenar, Madonna Louise Ciccone, pantas menimbulkan persoalan netizen apakah dia pernah dijangkiti COVID-19.

Namun, ada yang menafsirkan kata-kata penyanyi Like A Prayer itu sebagai kiasan dalam menilai orang lain.

Sebelum ini, ada laporan menyebut individu yang pernah dijangkiti COVID-19 dikatakan berpotensi memiliki antibodi melawan virus berkenaan.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan pernah memberi amaran tiada bukti individu yang diuji positif COVID-19 kebal dan terlindung daripada jangkitan semula.

Pada penghujung video, Madonna mengakhiri kata-kata dengan harapan yang optimis.

"Berita baiknya adalah esok dan hari yang lain. Saya akan bangun dan merasai sesuatu secara yang berbeza," katanya.

Sebelum ini, Madonna terpaksa membatalkan dua persembahan dalam siri jelajah, Konsert Madame X World Tour di Paris, Perancis, berikutan COVID-19.

Berita Harian X