Sabtu, 25 April 2020 | 1:00pm
Azlan menyanjung tinggi sumbangan petugas barisan hadapan lalu mencipta lagu istimewa buat mereka. Foto IG Azlan & Typewriter
Azlan menyanjung tinggi sumbangan petugas barisan hadapan lalu mencipta lagu istimewa buat mereka. Foto IG Azlan & Typewriter

Azlan & Typewriter pun ada lagu untuk 'frontliners'

KUALA LUMPUR: Seorang lagi penyanyi tampil dengan lagu istimewa buat petugas barisan hadapan.

Terbaru, Azlan & Typewriter mengambil inisiatif memberi semangat dan mengucapkan terima kasih kepada wira negara melalui lagu berjudul Barisan Hadapan.

Azlan berkata, jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan tidak terbalas dengan wang ringgit.

"Melihat raut wajah anggota barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara pasti membuatkan sesiapa sahaja terkesan.

"Mereka bukan saja meninggalkan keluarga di rumah demi melawan COVID-19, malah menggadaikan nyawa agar negara kembali seperti biasa.

"Sayu hati melihat foto dan video mereka tular dalam media sosial. Jasa petugas barisan hadapan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

"Mereka bukan sahaja merawat pesakit di hospital, malah sebahagian besar berada di atas jalan semata-mata mahu menjaga keselamatan dan mengawal keadaan," katanya kepada BH Online.

Azlan turut menasihati orang ramai agar terus berada di rumah dan mematuhi arahan PKP.

"Hanya dengan berada di rumah, kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan mengembalikan ketenangan seperti dahulu.

"Tidak sukar melawan pandemik ini asalkan kita mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan bersama," katanya.

Azlan berharap lagu Barisan Hadapan mampu memberikan semangat kepada semua pihak yang terbabit memerangi COVID-19.

Lagu Barisan Hadapan ciptaan Azlan boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music.

Berita Harian X