Rabu, 22 April 2020 | 2:51pm
Ezad Lazim bersama Dr Mohd Azman menghantar cecair pembasmi kuman di IPD Gua Musang, Kelantan, semalam. - Foto Ezad Lazim
Ezad Lazim bersama Dr Mohd Azman menghantar cecair pembasmi kuman di IPD Gua Musang, Kelantan, semalam. - Foto Ezad Lazim

Kerja amal jentik hati Ezad sertai sukarelawan

KUALA LUMPUR: Melakukan kerja amal, kemanusiaan dan bantuan kemasyarakatan menjentik hati penyanyi, Ezad Lazim, 41, menyertai sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Inilah kali pertama Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim menyertai kerja amal bagi membantu memenuhi keperluan petugas barisan hadapan menangani wabak COVID-19.

Penyanyi lagu Demi Cinta dan Kuasa Cinta itu bersama pasukan sukarelawan USIM menghantar cecair pembasmi kuman ke Gua Musang, Kelantan, tengah hari semalam.

Cecair pembasmi kuman yang dihasilkan USIM disumbangkan secara percuma kepada petugas barisan hadapan khususnya hospital, klinik kesihatan, pusat kuarantin dan pasukan keselamatan dalam usaha memerangi COVID-19.

Ezad berkata, inisiatif USIM bagi membantu menyediakan keperluan petugas barisan hadapan menarik minatnya menyertai sukarelawan.

“Saya teruja menyertai sekiranya ada peluang menjadi sukarelawan untuk ke lokasi lain. Semalam, saya ke Gua Musang menghantar cecair pembasmi kuman.

“Sebelum ini, saya ada juga menyertai kerja sukarelawan bersama selebriti, tetapi ini adalah permulaan bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Secara kebetulan, saya rapat dengan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM, Dr Mohd Azman Hashim. Jadi, saya berbesar hati mahu turut serta ketika beliau menawarkan kerja sukarelawan ini,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, masa senggang banyak terluang di rumah bersama keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

“Kenapa mempersia-sia kerja amal? Saya pun banyak masa terluang. Saya sering terfikir apa sumbangan yang boleh dilakukan bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Jadi, bergabung dengan sukarelawan USIM umpama peluang keemasan. Hati pun tenang dapat melakukan kerja amal,” katanya.

Terdahulu, bekas vokalis kumpulan Exists itu meluangkan masa menyaksikan proses menyediakan cecair pembasmi kuman oleh pasukan FaST LaB, USIM di Nilai, Negeri Sembilan, Isnin lalu.

Pensyarah Kanan Teknologi Kimia Industri FST, Dr Syaza Azhari menyambut baik kesungguhan Ezad membantu menghantar bekalan cecair berkenaan.

Katanya, USIM menerima banyak permintaan di seluruh negara selepas berita menghasilkan cecair pembasmi kuman menjadi tular pada Mac lalu.

“Kami cuba memenuhi permintaan, tetapi menghadapi kekangan untuk menghantar cecair pembasmi kuman di lokasi yang agak jauh. Contohnya, permintaan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan.

“Alhamdulillah, Ezad menawarkan diri menjadi sukarelawan menghantar bekalan ke sana. Beliau bergerak bersama Dr Mohd Azman,” katanya.

Berita Harian X