Rabu, 15 April 2020 | 6:00pm
Nazim Othman memuat naik video ketika menjalani ujian saringan COVID-19 secara pandu lalu di sebuah hospital swasta di laman Instagram. - Foto Instagram Nazim Othman
Nazim Othman memuat naik video ketika menjalani ujian saringan COVID-19 secara pandu lalu di sebuah hospital swasta di laman Instagram. - Foto Instagram Nazim Othman

Nazim panik, sukar lelap mata

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nazim Othman, 35, melakukan ujian saringan COVID-19 berikutan bimbang keselamatan dan kesihatan ketika penularan wabak bahaya itu.

Nazim memuat naik video menjalani ujian saringan di sebuah hospital swasta menerusi akaun Instagram. Namun, apa yang membuatkan pelakon Kau Yang Terindah itu terkejut demam ketika melakukan ujian.

Katanya, dia tidak mengalami sebarang simptom, sebaliknya menjalani ujian sekadar kepastian.

“Saya buat keputusan menjalani ujian saringan COVID-19 kerana panik. Jadi, saya menjalani ujian di sebuah hospital swasta untuk kepastian.

“Saya takut membaca berita mengenai virus bahaya ini. Perasaan risau dan tidak selesa.

“Apabila panik menyebabkan saya mengalami gangguan tidur selama beberapa hari,” katanya kepada BH Online.

Biarpun berusaha melelapkan mata, tetapi masih gagal menyebabkan Nazim bimbang sistem imunisasi terganggu hingga mengundang penyakit lain.

Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman berkata, dia tidak mempunyai sebarang simptom, tetapi terkejut disahkan demam ketika menjalani ujian saringan menerusi pandu lalu.

“Saya tak sedar demam, hanya badan terasa sedikit panas ketika melakukan ujian saringan COVID-19.

“Mungkin sistem imunisasi terganggu kerana tidak cukup tidur.

“Alhamdulillah, keputusan ujian saringan mengesahkan saya negatif selepas dua hari. Bagaimanapun, saya belum boleh menarik nafas lega selagi virus COVID-19 belum berakhir,” katanya.

Berkongsi pengalaman menjalani ujian COVID-19, Nazim berkata, ujian tidak sakit dan hanya mengambil tempoh singkat sekitar 10 minit. Dia tidak turun kereta ketika menjalani ujian.

“Ujian COVID-19 tidak sakit, cuma tidak selesa. Prosesnya sangat mudah, hanya duduk dalam kereta dan kakitangan hospital datang kepada saya.

“Bagaimanapun, sebelum ke hospital, kena pastikan hospital swasta yang ada menyediakan ujian saringan ini.

“Selepas mengenal hospital, saya membuat temu janji. Tak boleh main redah kerana perlu mengisi borang yang dihantar melalui emel untuk mendapatkan waktu temu janji,” katanya.

Nazim berkata, demam, sakit kepala, tekak atau batuk adalah simptom COVID-19, tetapi mereka yang bimbang dan ingin kepastian boleh menjalani ujian di hospital swasta dengan kos tidak sampai RM400.

Berita Harian X