X
Khamis, 9 April 2020 | 8:30am
Pemergian Glenn pada usia 44 tahun diratapi rakan seperjuangan. Foto IG Glenn Fredly
Pemergian Glenn pada usia 44 tahun diratapi rakan seperjuangan. Foto IG Glenn Fredly

Judika, Melly berduka

KUALA LUMPUR: Penyanyi Judika terkejut dan sukar mempercayai berita pemergian temannya, Glenn Fredly, malam tadi.

Judika berkongsi, dia mendapat khabar duka itu ketika sedang berinteraksi secara langsung melalui Instagram (IG) bersama penyanyi, Maia Estianty.

“Tadi saya sempat membuat ‘live’ bersama Maia dan mendapat khabar daripada teman-teman bahawa Glenn meninggal dunia.

“Saya fikir berita palsu. Lalu saya saya bercakap, jangan sebarangan kerana sekarang banyak berita yang tidak benar. Jadi, saya tidak mahu menyebarkan berita palsu.

“Namun, lama-kelamaan makin ramai yang menyatakan berita itu benar termasuklah teman-teman artis,” katanya menerusi entri video di IG.

Bagaimanapun, Judika reda ketentuan Ilahi dan mendoakan agar temannya diberi tempat terbaik di alam sana.

“Aku masih harus berkali-kali tarik nafas panjang dengar khabar yang membuat semua terkejut... Tidak percaya tapi ini kehendakNya.

“Semoga diberikan tempat yang terbaik di sisiNya. Kami menyayangimu Glen Fredly. Kebaikanmu, karya-karyamu selalu jadi kebanggaanku... Selamat jalan inspirasiku,” katanya yang menghadiahkan lagu buat temannya itu, Sedih Tak Berujung.

Sementara itu, berikutan wabak COVID-19 yang serius di Indonesia, penyanyi Melly Goeslow hanya mendoakan Glenn dari jauh.

“Tidak pergi menziarah kerana keadaan sedang tidak memungkinkan kerana kita harus di rumah saja... Cuma bisa mendoakan dari jauh,” katanya dipetik agensi Kapanlagi.com.

Penyanyi dan pencipta lagu Ada Apa Dengan Cinta itu dilaporkan terkejut apabila dihubungi media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai berita pemergian Glenn.

“Selepas makan malam, saya dihubungi teman wartawan yang bertanya kesahihan berita Glenn meninggal dunia. Saya kaget dan langsung bertanya kepada beberapa teman seperti Hedi Yunus, Yuni Shara dan Armand Maulana.

“Hedi tidak tahu manakala Armand dan Yuni tidak menjawab panggilan saya. Mungkin mereka sedang membaca Yassin kerana malam Nisfu Syaaban.

“Saya kemudian mencari berita dalam talian juga tidak ada. Jadi, saya hubungi pengurus dan memintanya mencari berita itu. Sebaik mendapat tahu, saya sangat terkejut dan tidak sangka,” katanya.

Isteri kepada penyanyi dan komposer Anto Hoed itu mengakui terkesan dengan pemergian penyanyi dan pemuzik hebat itu.

"Glenn pemuzik hebat yang bisa dibilang ‘genius’ kerana kehebatannya menghasilkan lirik lagu cinta. Dia juga penggerak yang serius untuk anak-anak muda Indonesia,” kata Melly.

Glenn dilaporkan meninggal dunia di Jakarta, petang semalam, waktu tempatan.

Memetik laporan KOMPAS.com, berita sedih itu dimaklumkan rakan seperjuangan Glenn, Tompi.

Dalam laporan lain, agensi menyebut, Glenn menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Setia Mitra jam 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia). - AGENSI

Berita Harian X