Rabu, 8 April 2020 | 11:47am
Uqasha bersyukur dirinya bebas COVID-19 selepas membuat ujian saringan di sebuah hospital swasta, Jumaat lalu. Foto IG Uqasha Senrose
Uqasha bersyukur dirinya bebas COVID-19 selepas membuat ujian saringan di sebuah hospital swasta, Jumaat lalu. Foto IG Uqasha Senrose

COVID-19 : Uqasha Senrose bebas jangkitan virus

KUALA LUMPUR: Pelakon Uqasha Senrrose mampu menarik nafas lega apabila laporan ujian saringan COVID-19 yang diterima menunjukkan keputusan negatif.

Uqasha yang sebelum ini demam panas berpanjangan, disahkan bebas daripada wabak itu selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana disahkan negatif COVID-19. Tidak dinafikan, selagi belum dapat keputusan, saya sentiasa diburu bimbang.

“Walaupun saya sudah menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor menyatakan saya demam biasa, namun rasa bimbang tetap ada.

“Ini kerana saya tinggal dengan keluarga. Tidak mahulah sikap mementingkan diri sendiri membuatkan semua orang di rumah jadi susah. Takut macam manapun, saya gagahkan diri menjalani ujian saringan,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Uqasha atau nama sebenar, Nik Zaris Uqasha Nik Sen memuat naik entri di Instagram menunjukkan dia menjalani pemeriksaan COVID-19 melalui kaedah padu laju di sebuah hospital swasta.

Rata-rata peminat dan rakan artis mendoakan kesejahteraan Uqasha serta berdoa dia terhindar daripada virus berkenaan.

Berita Harian X