Rabu, 8 April 2020 | 11:00am
Ifa Raziah menghantar bantuan keperluan asas kepada rakan artis yang susah dengan menggunakan khidmat penghantaran. - Foto Ifa Raziah
Ifa Raziah menghantar bantuan keperluan asas kepada rakan artis yang susah dengan menggunakan khidmat penghantaran. - Foto Ifa Raziah

Tak kaya, tetap kongsi rezeki

KUALA LUMPUR: Biarpun belum bertaraf jutawan, namun penyanyi, pelakon dan pengacara, Ifa Raziah tetap mahu berkongsi rezeki yang dikurniakan dalam membantu mereka yang tersepit dengan bebanan kewangan.

Dia bersama beberapa rakan artis terpanggil menghulurkan bantuan kepada anak seni yang menempuh kesukaran dan kesempitan hidup ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Biarpun persatuan dan pelbagai pihak menghulurkan bantuan, tetapi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2016 dan 2017 itu tetap melaksanakan usaha murni bersama rakan-rakannya.

Program Tautan Kasih Sumbangan Amal dilaksanakan sejak minggu lalu. Sumbangan pula disalurkan kepada rakan artis, petugas bahagian hadapan, pegawai perhubungan awam, jurusolek, ahli kelab peminat dan sanak saudara yang terputus punca pendapatan.

Ifa berkata, usaha murni ini akan dilakukan berterusan, bukan hanya ketika penularan virus COVID-19.

“Insya-Allah, saya akan menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa. Saya bantu setakat yang termampu. Malah, ada hamba Allah yang bermurah hati menyalurkan sumbangan untuk misi ini.

“Saya membantu menghulurkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, kicap, biskut, sardin dan cecair pembasmi kuman. Ia tak besar mana, tetapi dapat mengurangkan beban mereka yang memerlukan.

“Saya bukannya kaya, tetapi ada rezeki beroleh kesenangan yang mahu dikongsi. Saya percaya dalam setiap rezeki, pasti ada bahagian orang lain. Saya anggap ini saham untuk akhirat.

“Saya dibantu rakan artis seperti Ani Mayuni, Noorshila Amin, Shikin Dangdut dan Anne Abdullah untuk menjejaki alamat artis yang berdepan kesempitan hidup,” katanya kepada HIP.

Penyanyi lagu Miss Diva itu berkata, dia tidak mengenepikan rakan penyanyi dangdut yang sentiasa berhubung menerusi aplikasi WhatsApp yang diwujudkan. Ia termasuklah yang berstatus ibu tunggal.

“Antaranya, Zaleha Hamid yang sakit dan uzur. Saya menggunakan khidmat penghantaran untuk menyalurkan bantuan kerana Zaleha berada di Johor Bahru.

“Boleh dikatakan, 80 peratus saya salurkan bantuan menerusi khidmat penghantaran. Selebihnya, saya akan menghantarnya sendiri jika tinggal berdekatan.

“Tumpuan saya kepada artis tak popular dan kurang tawaran persembahan.

“Bagaimanapun, ada juga bantuan tak boleh disampaikan secara penghantaran kerana mereka berada di zon merah. Antaranya, Fadilah Mansor, Mak Wan, S Mariam, Anita Baharom, Hamidah Wahab, Delimawati dan ramai lagi,” katanya.

Ifa berkata, dia berterima kasih kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi yang menghubungi setiap ahli dan mengambil berat.

“Zed menghubungi saya secara peribadi dan bertanya sama ada saya memerlukan bantuan. Saya jelaskan keperluan harian saya masih mencukupi,” katanya.

Antara artis yang mendapat bantuan termasuklah Fauziah Nawi, Datuk Jamali Shadat, Khaty Azean, Zalee Redang, Riot Kool, Chef Yang Jamil, Sheeda Dangdut, Mimi Loma dan Rohayu Majid.

Berita Harian X