Selasa, 31 March 2020 | 10:53pm
PRESIDEN SENIMAN, Zed Zaidi menyelar tindakan seorang artis kontroversi muat naik video yang boleh menimbulkan kebencian terhadap penggiat seni. - Foto Aziah Azmee
PRESIDEN SENIMAN, Zed Zaidi menyelar tindakan seorang artis kontroversi muat naik video yang boleh menimbulkan kebencian terhadap penggiat seni. - Foto Aziah Azmee

Laporan polis terhadap artis kontroversi

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) melaporkan beberapa ahlinya sudah membuat laporan polis terhadap artis kontroversi yang didakwa memuat naik video hasutan terhadap penggiat seni.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi memaklumkan ia membabitkan beberapa artis membuat laporan polis di lokasi berbeza, hari ini. Laporan dibuat berdasarkan video yang didakwa berbentuk hasutan dan kecaman terhadap penggiat seni serta industri hiburan.

“Tindakan artis ini boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengganggu ketenteraman dalam keadaan negara dilanda virus COVID-19.

“Berikutan laporan polis dibuat, SENIMAN akan menghantar salinan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil tindakan,” katanya kepada BH Online.

Zed berkata, usaha baik golongan selebriti membantu penggiat seni yang berdepan kesukaran hidup ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipandang negatif atas hasutan artis berkenaan menerusi video dimuat naik dalam laman sosialnya.

“Mohon jasa baik artis dan penggiat seni membuat laporan polis dan kepada SKMM terhadap artis yang memuat naik video hasutan. Dalam keadaan sekarang, lebih baik membuat video yang membantu kerajaan dan petugas barisan hadapan untuk menghapuskan COVID-19.

“Ia bukannya menghasut masyarakat membuat perkara tidak baik yang boleh menggugat perpaduan industri seni dan ketenteraman,” katanya.

Berita Harian X