Selasa, 31 March 2020 | 4:23pm
Pelakon, Syafiq Kyle suka memasak, membaca dan bersenam ketika Perintah Kawalan Pergerakan. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Pelakon, Syafiq Kyle suka memasak, membaca dan bersenam ketika Perintah Kawalan Pergerakan. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Hentikan perbalahan...

KUALA LUMPUR: “Hidup secara aman, hentikan perbalahan dalam media sosial. Jangan jadikan medium ini untuk mengutuk, mengecam dan bergaduh.

“Apa salahnya menggunakan peluang yang ada untuk sentiasa mendoakan kebaikan. Doakan kesihatan dan dijauhi virus COVID-19, bukannya mengutuk dan mengeji yang akhirnya merosakkan kita,” kata pelakon popular, Syafiq Kyle mengulas isu pertelagahan artis dan netizen yang hangat diperkatakan ketika seluruh dunia berdepan musibah virus berbahaya itu.

Syafiq berkata, sebagai umat Islam, kita disarankan sentiasa mendoakan kesejahteraan. Dan, dia percaya kebaikan akan datang semula.

“Saya harap netizen menghentikan perbalahan. Perkara tidak penting inilah yang boleh merosakkan fikiran kita. Gunakan medium media sosial berkongsi sesuatu yang baik, dalam situasi virus COVID-19 yang sudah menelan banyak nyawa,” katanya kepada BH Online.

Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-32 itu berkata, penularan virus COVID-19 bergantung pada sikap dan budaya sesebuah negara.

“Saya pernah pergi ke Itali dan China. Saya tidak hairan kenapa Itali mengalami kesan yang teruk berbanding negara tembok besar.

“Jadi, saya berharap rakyat Malaysia patuhi perintah kerajaan jika mahu memutuskan rantaian virus berbahaya ini,” katanya.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia bimbang mahu keluar rumah sekiranya tiada keperluan sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Seperti individu lain yang gemar mencuba pelbagai resipi baharu, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer itu berkata, dia turut terjebak memasak bagi mengisi masa lapang.

“Saya tak banyak aktiviti dilakukan sepanjang tempoh PKP. Waktu tidur saya pun berubah.

“Saya masuk tidur awal dan bangun pagi. Jadi, saya gemar memasak, membaca atau bersenam untuk mengisi masa lapang.

“Ada masanya terpaksa keluar mencari makanan atau singgah rumah keluarga untuk makan. Tetapi, saya elak terlalu kerap keluar kerana bimbang ada berdekatan dengan individu lain sewaktu dalam lif,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia berharap kesedaran masyarakat terhadap bahaya wabak itu akan lebih tinggi, selepas dua minggu tempoh PKP.

“Patuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai langkah keselamatan bagi mengelakkan dijangkiti virus COVID-19.

“Sentiasa memakai topeng muka, mengutamakan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan dengan bahan pencuci tangan. Paling penting, jaga jarak diri antara satu sama lain,” katanya.

Berita Harian X