Ahad, 29 March 2020 | 3:01pm
Hanks dan isterinya mengucapkan terima kasih kepada doktor dan petugas kesihatan di hospital dan peminat yang mendoakan mereka sembuh daripada COVID-19.
Hanks dan isterinya mengucapkan terima kasih kepada doktor dan petugas kesihatan di hospital dan peminat yang mendoakan mereka sembuh daripada COVID-19.

COVID-19: Tom Hanks, isteri pulang ke AS

SYDNEY: Pelakon, Tom Hanks dan isteri, Rita Wilson sudah kembali di Amerika Syarikat (AS) selepas kira-kira dua minggu dikuarantin di Australia akibat positif COVID-19.

Hanks, 63, berkongsi perkembangan terbarunya melalui Twitter.

“Kami sudah pulang dan seperti rakyat AS yang lain, kami akan terus mengasingkan diri dan melakukan penjarakkan sosial.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak di Australia yang menjaga kami. Keprihatinan dan bimbingan mereka membuatkan kami boleh kembali ke AS.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kami... Rita dan saya sangat menghargai,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada 12 Mac lalu, Hanks dan isteri mengesahkan mereka positif COVID-19.

Hanks dilaporkan berkata, mereka demam ketika berada di Australia di mana beliau sedang menjalani penggambaran sebuah filem baharu memaparkan kisah hidup mendiang Elvis Presley.

Mereka mengurungkan diri di kediaman yang disewa selepas dibenarkan keluar oleh sebuah hospital di Queensland. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X