Sabtu, 28 March 2020 | 11:00am
PTVM mohon bantuan syarikat penerbitan dalam bentuk wang ringgit atau makanan untuk kru produksi yang terjejas.
PTVM mohon bantuan syarikat penerbitan dalam bentuk wang ringgit atau makanan untuk kru produksi yang terjejas.

PTVM bela nasib kru produksi

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengambil inisiatif mewujudkan tabung khas bagi membantu meringankan bebanan penggiat seni balik tabir yang terjejas selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tabung Bantuan COVID-19 Penggiat Seni akan diagihkan kepada mereka yang berkelayakan menerusi kerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, syarikat penerbitan terpaksa menghentikan penggambaran dan tugasan, sejak arahan PKP dikeluarkan. Ini menyebabkan kebanyakan kru produksi yang bekerja secara kontrak dan makan gaji hari hilang punca pendapatan.

“Kami faham ramai penggiat seni terkesan dengan arahan PKP apabila syarikat produksi terpaksa menghentikan penggambaran serta merta. Ia secara tidak langsung menjejaskan pendapatan mereka di kalangan kru produksi yang kebanyakan bekerja secara sambilan.

“Mereka bagaikan hilang punca pendapatan untuk menyara diri dan keluarga. Jadi, PVTM mengambil inisiatif mewujudkan tabung khas dan minta syarikat penerbitan yang prihatin membantu menyalurkan sumbangan, tak kira dalam bentuk wang ringgit, makanan atau barangan keperluan bagi meringankan bebanan mereka.

“Sumbangan diterima akan diagihkan kepada penggiat seni yang layak. Kami berharap usaha dilakukan PVTM ini dapat membantu meringankan kesengsaraan yang ditanggung penggiat seni ketika berdepan dengan detik sukar dan tiada pekerjaan ini,” katanya kepada BH Online.

Selain PTVM, inisiatif yang sama diambil oleh FDAM yang menubuhkan tabung khas bagi membantu pengarah dan dan penggiat seni. SENIMAN pula sudah mula mengagihkan barangan keperluan berbentuk beras, gula, minyak dan tepung kepada ahlinya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X