Jumaat, 27 March 2020 | 8:34pm
Nabil Ahmad dan Siti Nordiana lega penangguhan bayaran pinjaman rumah, kereta dan peribadi membantu meringankan komitmen bulanan yang perlu dijelaskan.
Nabil Ahmad dan Siti Nordiana lega penangguhan bayaran pinjaman rumah, kereta dan peribadi membantu meringankan komitmen bulanan yang perlu dijelaskan.

Nabil, Nana lega bantuan kerajaan

Golongan selebriti lega dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berhubung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu meringankan bebanan rakyat.

Biarpun tiada bantuan khusus diberikan kepada golongan penggiat seni, namun mereka tetap bersyukur apabila bank tempatan menawarkan penangguhan bayaran pinjaman hingga enam bulan kepada individu dan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) dalam keadaan ekonomi yang getir ini.

Bagi pemilik lagu Hatiku Milikmu, Siti Nordiana, penangguhan bayaran balik rumah dan kereta sedikit sebanyak membantu meringankan komitmen bulanan yang perlu dijelaskan.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana memahami keluh kesah rakyat. Sedikit sebanyak penangguhan bayaran dapat membantu meringankan bukan sahaja bebanan saya tetapi mereka yang tiada pendapatan tetap berikutan penularan wabak COVID-19 ini.

“Saya tetap akur dengan ketentuan takdir, biarpun banyak undangan persembahan dibatalkan, bulan ini.

“Saat ini, nyawa dan keselamatan lebih utama daripada segala-galanya. Semoga virus COVID-19 ini cepat dapat dihapuskan,” katanya kepada BH Online.

Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad turut sependapat dengan Siti Nordiana.

“Penangguhan bayaran pinjaman selama enam bulan boleh meringan beban rakyat. Sekurang-kurangnya, duit boleh digunakan membeli makanan dan keperluan keluarga.

“Biarpun rakyat diarahkan mematuhi arahan PKP, tetapi keperluan keluarga perlu disediakan. Saya akui, beberapa projek kerja dibatalkan atas penularan virus COVID-19.

“Jadi, legalah sikit dengan kelonggaran bayaran rumah, kereta dan pinjaman peribadi.

Wang berkenaan boleh digunakan untuk keperluan harian untuk anak-anak,” katanya.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2008 itu berkata, dia membeli keperluan rumah dalam mencukupi supaya tidak kerap ke pasar raya pada ketika ini.

“Keadaan sekarang tidak selamat untuk keluar. Jadi, apabila perlu memberi barangan rumah dalam kuantiti yang cukup, ia menelan belanja tinggi.

“Bantuan kerajaan amat meringankan bebanan rakyat. Saya percaya, semua lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sama,” katanya.

Berita Harian X