Jumaat, 27 March 2020 | 2:54pm
Jurukamera, Bob Fitri bekerja secara sambilan dan makan gaji hari tentunya terjejas sekiranya tidak bekerja.
Jurukamera, Bob Fitri bekerja secara sambilan dan makan gaji hari tentunya terjejas sekiranya tidak bekerja.
Pengarah Seni, Mohd Aizad Mohd Rosli harap kerajaan tidak mengetepikan nasib penggiat seni di balik tabir.
Pengarah Seni, Mohd Aizad Mohd Rosli harap kerajaan tidak mengetepikan nasib penggiat seni di balik tabir.

COVID-19: Kru produksi mohon tidak dipinggirkan

KUALA LUMPUR: Penggiat seni di balik tabir mohon kerajaan tidak meminggirkan kebajikan mereka yang terkesan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, sejak 18 Mac lalu.

Sejak PKP dilaksanakan, pendapatan penggiat seni yang melakukan kerja di balik tabir terjejas teruk berikutan kebanyakannya bekerja secara kontrak dan dibayar gaji hari. Ini berikutan penggambaran terpaksa ditunda bagi mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

Justeru, kru produksi mohon kebajikan mereka tidak dilupakan berikutan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.

Pengarah Seni, Mohd Aizad Mohd Rosli berkata, dia sepatutnya menjalani penggambaran untuk drama 13 episod.

Bagaimanapun disebabkan arahan PKP, penggambaran terpaksa dibatalkan menyebabkan dia tidak berkerja, sekali gus tiada pendapatan. Biarpun isteri mempunyai pendapatan tetap, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia tidak mahu membebani pasangannya.

“Alhamdulillah, saya masih boleh bertahan. Setakat seminggu tidak bekerja boleh bernafas lagi. Bagaimanapun, apa nasib saya dan kru produksi apabila tidak bekerja selama sebulan. Lebih lagi, arahan PKP dilanjutkan hingga 14 April depan.

“Sudahlah kami tiada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Rezeki kru produksi bergantung kepada projek, ada penggambaran baru ada gaji. Jika ada KWSP, bolehlah kami bergantung kepada wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

“Kami tiada keistimewaan itu, jadi tentulah sangat membebankan buat penggiat seni di balik tabir seperti saya,” katanya.

Katanya, dia tidak keluar bekerja sejak PKP dilaksanakan.

“Ia tentunya menjejaskan kehidupan kru produksi yang sudah berkeluarga, sekiranya arahan PKP berlanjutan untuk tempoh lebih lama.

“Saya berharap kerajaan dapat membantu penggiat seni seperti kami yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Setakat ini, saya tidak mendengar sebarang bantuan, khusus untuk penggiat seni,” katanya berterima kasih kepada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) yang menghulurkan bantuan asas seperti beras, minyak, tepung dan gula.

Bagi jurukamera, Bob Fitri, dia terjejas berikutan tiga projek membabitkan filem dan dua telefilem terpaksa ditangguhkan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia bernasib baik kerana mempunyai sedikit simpanan.

“Bagaimanapun, saya hanya bekerja secara kontrak, jadi banyak mana simpanan yang ada memandangkan banyak komitmen yang perlu dilunaskan.

“Saya akui, arahan PKP amat memberi kesan kepada kru produksi di balik tabir. Tetapi, saya kena akur dengan arahan kerajaan supaya dapat memutuskan rantaian virus COVID-19 terus tersebar.

“Apa yang diharapkan, kerajaan dapat memberikan perhatian kepada penggiat seni di balik tabir yang terjejas teruk berikutan meraih pendapatan secara kontrak dan gaji hari. Ada kerja, adalah gaji,” katanya.

Bob berkata, banyak projek yang terpaksa ditunda ke satu tarikh yang tidak diketahui bila akan diteruskan, selagi virus COVID-19 tidak berakhir.

“Saya bersimpati dengan rakan kru produksi kerana mula merasai tekanan hidup. Kami bekerja secara sambilan dan tiada gaji tetap.

“Jadi ada antaranya tak sempat menyimpan kerana perlu melangsaikan komitmen setiap kali dapat gaji. Ada pula yang perlu menyara ibu bapa dan keluarga. Jadi, saya berharap kesengsaraan penggiat seni ini turut diberi perhatian kerajaan,” kata yang juga ahli MALAYSIAN Society of Cinematographer (MySC).

Berita Harian X