Khamis, 26 March 2020 | 11:00am
Dari kanan Hazrena (Reen), Sugeetha, Mas Ayu dan Mark Adam yang terbabit dengan projek menghasilkan single Bawakan Cahaya. Foto Ihsan PWS
Dari kanan Hazrena (Reen), Sugeetha, Mas Ayu dan Mark Adam yang terbabit dengan projek menghasilkan single Bawakan Cahaya. Foto Ihsan PWS

Bawakan Cahaya naikkan semangat rakyat

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan rakyat yang berdepan ujian mengekang penularan COVID-19, sekumpulan personaliti Media Prima Berhad (MPB) berpadu suara mendendangkan single Bawakan Cahaya demi menaikkan semangat anak Malaysia.

Penulis lirik lagu berkenaan, Ahmad Fedtri Yahya memberitahu, idea projek itu dicetuskan Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

“Lagu ini adalah ciptaan Yise Loo. Liriknya diubah untuk disesuaikan dengan situasi sekarang.

“Saya ambil masa selama sejam untuk mengubah lirik mengikut kefahaman asal dan isi hati sendiri,” katanya kepada BH Online.

Antara personaliti MPB yang terbabit dalam projek itu adalah Fiza Sabjahan, Fahrin Ahmad, Hazrena Kassim, Sugeetha Chandran, Jan Chin dan Sean LJE.

Turut menyumbang suara adalah Rickman Chia, Yise Loo, Mark Adam termasuk Fedtri melalui deklamasi sajak.

Ahmad Fedtri berkata, sesi rakaman dianggap sukar kerana kebanyakan personaliti bukanlah penyanyi.

“Selain itu, saya kena pastikan mereka faham maksud lirik agar maksudnya sampai.

“Pada lagu asal, pada bahagian akhir, lirik berbentuk ratib ditampilkan. Namun, untuk versi baharu ini, saya gantikan dengan sajak yang menyeru kepada semua pihak bersatu hati dalam berdepan situasi sukar ini,” katanya.

Tambah Fedtri, proses rakaman lagu dibuat Jumaat lalu mengikut tertib Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan rakaman dibuat seorang demi seorang.

Muzik video lagu ini turut ditayangkan sebagai selingan di saluran stesen televisyen (TV) MPB.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X