X
Rabu, 25 March 2020 | 6:43pm
Black mengaku ramai artis terjejas pendapatan apabila projek termasuk konsert ditangguhkan akibat PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini. Foto NSTP/Eziari Shamsudin
Black mengaku ramai artis terjejas pendapatan apabila projek termasuk konsert ditangguhkan akibat PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini. Foto NSTP/Eziari Shamsudin

COVID-19 : Artis juga perlu bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR: Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini turut menjejaskan ‘periuk nasi’ penggiat seni tempatan, kata penyanyi, Black Hanifah.

Mengaku rakyat pelbagai peringkat sama terjejas, Black atau nama sebenar, Mohd Hanifah Md Hanafiah berharap kerajaan tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan memberi bantuan khusus.

“Saya berharap kerajaan dapat membantu kami, golongan selebriti tanah air yang selama ini banyak membantu negara.

“Saya berharap kami diberi pertolongan seperti apa yang diperoleh orang awam supaya beban ditanggung dapat dikurangkan sedikit.

“Kami juga perlu membayar bil dan menanggung perbelanjaan harian. Memang apa yang dipaparkan di media sosial tampak seperti kami berduit. Namun, apabila dalam situasi begini, kami tiada kerja untuk beroleh pendapatan.

“Persembahan dan aktiviti seni semua dibatalkan atau ditunda. Seperti saya, pada bulan ini sahaja, program televisyen (TV), konsert dan pelbagai lagi, semuanya ditangguhkan. Selagi semua itu ditunda, kami tiada pendapatan.

“Apa yang terjadi tidak dinafikan menjejaskan pendapatan kami. Saya bersyukur ada menyimpan, jadi tidaklah terbeban perbelanjaan bulanan saya,” katanya kepada BH Online.

Selain perniagaan yang perlu ditutup, Konsert 4G’s yang dirancang Black bersama Akim Ahmad, Tomok dan Hazama juga ditangguhkan.

Tambah Black, tarikh baharu untuk konsert yang dijadualkan pada 17 dan 18 April ini belum ditetapkan. Perkara itu akan dibincangkan selepas tempoh PKP tamat.

“Kami akui agak terkesan dengan penundaan ini. Tapi kami mahu semua pembeli tiket datang menonton persembahan kami di mana hampir 50 peratus tiket sudah dijual.

“Kami tahu ramai peminat faham tindakan kami. Tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian dan diharapkan berlangsung tahun ini. Kami mahu melancarkan single kami pada konsert berkenaan.

“Single terbabit sudah pun dirakam dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan,” katanya.

Sementara itu, Black yang bercadang menyambut Ramadan dan Syawal di Langkawi, Kedah, terpaksa membatalkan hasrat itu berikutan PKP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X