Rabu, 25 March 2020 | 2:07pm
Riena mengaku masih didatangi peminat mengajak bergambar setiap kali berjumpa ketika membeli barangan keperluan. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Riena mengaku masih didatangi peminat mengajak bergambar setiap kali berjumpa ketika membeli barangan keperluan. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Ada sebab elak bergambar - Riena Diana

KUALA LUMPUR: Mengaku masih ada peminat datang menghampiri dan mengajak bergambar ketika membeli barang keperluan, pelakon, Riena Diana terpaksa menolak bagi mengelak kemungkinan berlaku perkara tidak diingini terutama penularan COVID-19.

Riena atau nama sebenar, Nur Nur Qamariena Diana Zulreal, 23, berharap peminat faham tindakannya itu.

“Ada sesetengah orang mungkin menganggap saya biadap atau sakit hati apabila saya menolak permintaan bergambar atau bersalaman.

“Namun, saya mengelak dan cuba menjelaskan kenapa saya berbuat begitu agar mereka faham.

“Iyalah, apa yang saya buat ini bukan untuk diri sendiri malah untuk kebaikan orang lain. Saya harap mereka faham kenapa saya berbuat demikian,” katanya kepada BH Online.

Riena berkata, apabila membeli barang keperluan di pasar raya, dia terlihat masih ada pelanggan bersalaman dan bersentuhan, biarpun pada dasarnya semua orang takut dan tahu mengenai cara virus berjangkit.

“Orang Malaysia memang beradab tapi kadang-kadang terlupa mengenai pentingnya menjaga nyawa orang lain dan diri sendiri,” katanya.

Pelakon yang popular dengan drama rantaian Kampung People itu menambah, dia cuba mengamal emosi bagi mengelak daripada tersalah cakap setiap kali berhadapan situasi itu.

“Hendak marah pun tak boleh, kalau orang tua yang tidak faham, takkan kita mahu marah? Budak-budak kita fahamlah mereka tidak mengerti sangat.

“Susah juga hendak bagi orang faham tindakan kita. Jadi, akhirnya, saya hanya mampu menjauhkan diri kerana tidak mahu terkasar bahasa,” katanya.

Riena turut menasihatkan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“Semoga orang ramai dengar nasihat kerajaan, duduk rumah dan buatlah aktiviti bermanfaat.

“Apabia kita dengar cakap kerajaan, itu bukan untuk diri kita sahaja, tapi untuk semua orang. Kalau hendak hidup kembali macam biasa, dengarlah apa yang disarankan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Riena memberitahu, penggambaran program By The Sea musim kedua terpaksa ditunda.

“Jika mengikut perancangan, saya ada penggambaran di Langkawi, Kedah, di mana 10 episod lagi untuk disiapkan.

“Kemudian, saya sepatutnya ada rakaman di studio. Namun, saya terpaksa tolak kerana saya baru pulang dari Langkawi dan Bali, Indonesia.

“Risau jika terjadi apa-apa pada orang lain, saya tak akan maafkan diri sendiri,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X