Rabu, 25 March 2020 | 11:00am
Khai Bahar reda Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang akan diumumkan. - Foto Blackpepper Production
Khai Bahar reda Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang akan diumumkan. - Foto Blackpepper Production

COVID-19: Khai pupuk sikap saling menyayangi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar menyifatkan segelintir rakyat Malaysia yang ingkar arahan kerajaan seperti tidak menyayangi diri, keluarga dan orang sekeliling.

Dalam situasi getir disebabkan penularan wabak COVID-19, ada yang tidak mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan yang diarahkan kerajaan.

Seharusnya, kata penyanyi lagu HatiNyawa itu, sikap saling menyayangi harus dipupuk.

“Kita tidak seharusnya bersikap mementingkan diri.

“Arahan Perintah Kawalan Pergerakan bukan menyusahkan atau dilakukan suka-suka. Ia untuk kebaikan bersama supaya penularan wabak COVID-19 tidak terus berleluasa.

“Kita sedang diuji dengan musibah besar ini. Namun, kita juga mempunyai akal fikiran untuk menanganinya. Jangan ambil mudah hingga memudaratkan orang lain,” katanya kepada BH Online.

Khai berkata, rakyat Malaysia perlu berganding bahu membanteras COVID-19 daripada terus merebak.

“Virus COVID-19 tidak akan merebak, jika tiada jangkitan. Jadi, teruskan duduk di rumah supaya terhindar wabak yang membunuh sekelip mata ini.

“Teruskan berdoa supaya didengari Allah SWT. Kita harus memainkan peranan supaya wabak ini berakhir,” katanya.

Penyanyi kelahiran Perlis itu berkata, dia lebih selesa merenung diri dengan apa yang terjadi.

“Saya percaya wabak COVID-19 boleh dibendung sekiranya kita saling mengingati. Ia juga menjadi peringatan buat saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin berkata, konsert solonya di Istana Budaya ditunda berikutan penularan COVID-19.

“Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Saya reda, mungkin ada lebih banyak masa untuk melakukan latihan,” katanya.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini ditangguhkan pada tarikh baharu yang akan diumumkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X