Ahad, 22 March 2020 | 12:00pm
KUALA LUMPUR 28 APRIL 2018. Gambar fail, Bunga Citra Lestari ketika membuat persembahan dalam Live In Concert di Dewan Plenary pada April 2018. Gambar kecil, suaminya arwah Ashraf Sinclair. - Foto Supian Ahmad

BCL mohon peminat berdoa untuk Ashraf

KUALA LUMPUR: Tidak pernah berkongsi entri di Instagram (IG) sejak pemergian suami, penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) akhirnya memuat naik pesanan di IG Story, khusus buat tatapan hampir 15 juta pengikut, kira-kira sembilan jam lalu.

Menyambut ulang tahun kelahiran ke-37, hari ini, Bunga beroleh kekuatan untuk berkongsi entri selepas kembalinya ke rahmatullah suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair, lebih sebulan lalu.

“Saya tahu diri ini tidak memuat apa-apa di IG sejak kebelakangan ini kerana sejujurnya masih belum bisa.

“Tapi pada hari istimewa ini, saya putuskan untuk sampaikan terima kasih untuk semua ucapan dan cinta yang diberi untuk aku.

“Aku amat bersyukur dan dirahmati dikelilingi keluarga, teman, peminat dan semua yang sayangkan diri ini serta sentiasa menyokong,” luahnya.

Bunga berkata, pemergian suami bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilalui.

“Ini bukan perjalanan yang mudah. Tapi sedikit demi sedikit aku berusaha bangkit dan berjalan.

“Pada hari ulang tahun saya, kalau boleh minta dikirimkan doa untuk arwah suami dan semoga kita semua dilindungi daripada bahaya.

“Hati-hati dan duduk di rumah. Mari sama sama jaga diri dan semua... Aku sayang semua,” katanya.

Kali terakhir Bunga memuat naik entri di IG adalah pada 14 Februari lalu iaitu video promosi projek duet istimewa lagu Menghapus Jejakmu bersama Ariel Noah.

Pada 18 Februari lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian arwah Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Ashraf meninggalkan balu, Bunga dan anak, Noah Aidan Sinclair, berusia 10 tahun.

Mesej dimuat naik Bunga di IG Story yang antara lain mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa berdoa dan memberi sokongan kepadanya untuk bangkit daripada kesedihan. Foto IG Bunga Citra Lestari

Berita Harian X