Khamis, 12 March 2020 | 8:24pm
Mengesahkan dijangkiti COVID-19, Hanks dan Wilson dihujani ucapan daripada peminat di seluruh dunia yang mendoakan mereka cepat sembuh daripada virus berkenaan. Foto AFP
Mengesahkan dijangkiti COVID-19, Hanks dan Wilson dihujani ucapan daripada peminat di seluruh dunia yang mendoakan mereka cepat sembuh daripada virus berkenaan. Foto AFP

Anak Tom Hanks hargai keprihatinan peminat

SYDNEY: Mengesahkan ibu bapa dijangkiti COVID-19, anak Tom Hanks, Chet Hanks, 29, menghargai keprihatinan peminat yang tidak putus-putus mendoakan bintang filem Forest Gump dan isterinya, cepat sembuh.

Chet memberitahu, ibu bapanya dalam keadaan baik.

“Anda tidak perlu risau. Namun, saya hargai kebimbangan yang ditunjukkan orang ramai,” katanya, lapor agensi.

Pagi tadi, peminat dikejutkan dengan pengakuan Hanks melalui Instagram (IG), bahawa dirinya dan isteri, Rita Wilson didapati positif COVID-19.

Hanks, 63, memaklumkan mereka demam ketika berada di Australia bagi menjalani penggambaran filem baharu.

“Sebagai langkah wajar, seperti yang diperlukan dunia ketika ini, kami diuji untuk coronavirus dan didapati positif,” katanya.

Hanks dilaporkan memberitahu, mereka sedang dikuarantin dan dipantau, lapor AFP.

Sementara itu, agensi melaporkan, Hanks dan Wilson disyaki dijangkiti virus berkenaan ketika bercuti di Gold Coast.

Khamis lalu, Wilson yang juga penyanyi dan komposer, membuat persembahan di Emporium Hotel South Bank di Brisbane. Mereka kemudian menjelajah Gold Coast sebelum berangkat ke Sydney.

Di bandaraya itu, Wilson membuat persembahan di Sydney Opera House, dipercayai disaksikan 200 orang, Sabtu lalu.

Dilaporkan, Wilson juga muncul dalam rancangan pagi, Today Extra Show. Berikutan itu, pengacara program berkenaan, David Campbell dan Belinda Rusell mengasingkan diri kerana bimbang virus merebak kepada orang lain.

Malah, mereka akan menjalani ujian saringan.

Sementara itu, teman-teman Hanks dan Wilson mendoakan pasangan itu cepat sembuh.

Pelakon The West Wing, Bradley Whitform melayangkan mesej di Twitter berharap pasangan suami isteri itu kuat.

“Sayang kamu Rita dan Tom... Tolonglah terus kuat bertahan,” katanya.

Hanks berada di Australia bagi menjalani penggambaran filem berkisar mendiang Elvis Presley arahan Baz Luhrmann yang belum diberi tajuk.

Sementara itu, mengikut laporan Deadline Hollywood, filem mengenai Presley menampilkan Hanks dengan watak sebagai Kolonel Tom Parker, iaitu bekas pengurus penyanyi lagenda berkenaan. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X