Sabtu, 7 March 2020 | 11:00am
Raihan lebih banyak dekati peminat melalui media sosial sebagai strategi terus relevan dalam industri seni. Foto NSTP/Amirudin Sahib
Raihan lebih banyak dekati peminat melalui media sosial sebagai strategi terus relevan dalam industri seni. Foto NSTP/Amirudin Sahib

Raihan jarang 'keluar' TV

KUALA LUMPUR: Pada era 1990-an, ketika nama di puncak populariti, kumpulan Raihan sering menjayakan program hiburan terbitan stesen televisyen (TV) tempatan.

Namun, zaman berubah, apatah lagi teknologi digital menguasai pasaran, Raihan mengaku peluang beraksi di TV, semakin terhad.

Salah seorang anggotanya, Che Am berkata, tahun lalu, mereka membuat persembahan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dan konsert anjuran TV Alhijrah.

“Keadaannya tidak semeriah dahulu iaitu pada zaman lagu nasyid sedang naik. Perkara ini membabitkan stesen TV tertentu, bukan semua. Tapi kami faham situasi itu.

“Bagi kami, ia bukanlah masalah besar. Fokus kami sudah berubah kepada media sosial dan membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat.

“Cuma sesekali rasanya perlulah kami tampil di TV sebagai isyarat kepada peminat bahawa kami masih ada selain mahu mengubat rindu,” katanya kepada BH Online.

Tambah Che Am atau nama sebenarnya, Che Amran Idris, projek kolaborasi bersama penyanyi Alif Satar menerusi lagu Sesungguhnya 2019 memberi banyak impak positif.

Bukan sahaja membuatkan nama kembali menjadi sebutan, malah Raihan dapat mengumpul peminat baharu.

“Jika dahulu peminat hanya kenal Raihan melalui lagu Sifat 20 dan 25 Rasul, sekarang mereka mula mendekati.

“Secara tidak langsung, kami terima tempias daripada peminat Alif yang kebanyakannya generasi muda,” katanya.

Bagaimanapun, Che Am berkata, peminat Raihan sejak era kemunculan mereka pada 1990-an masih setia bersama.

“Walaupun mereka tidak aktif di media sosial, namun kami tahu, Raihan masih ada di hati mereka.

“Lebih menyeronokkan apabila mereka memperkenalkan lagu kami kepada anak-anak. Kiranya, peminat turun-menurunlah,” katanya.

Selepas kejayaan lagu Sesungguhnya 2019 yang dilancarkan Mei lalu, projek Raihan dan Alif diteruskan. Mereka muncul dengan single kedua yang dirahsiakan.

Masih menggunakan lagu lama Raihan, seorang lagi anggota kumpulan itu, Abu Bakar Md Yatim berkata, Raihan lebih berhati-hati bagi mengelak pertikaian mana-mana pihak yang mendakwa lagu dirakam adalah milik mereka.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kali ini, kami pastikan lagu dirakam tiada kaitan dengan pihak lain. Raihan bebas merakamkannya.

“Diharapkan, pihak dimaksudkan ini tidak ada masalah kali ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X