Jumaat, 6 March 2020 | 4:23pm
Syatilla mendakwa tidak ambil tahu komen netizen terhadap kontroversi hubungan adiknya, Syifa dengan Safawi. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Syatilla mendakwa tidak ambil tahu komen netizen terhadap kontroversi hubungan adiknya, Syifa dengan Safawi. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kontroversi Syifa-Pawi, Syatilla tak campur

KUALA LUMPUR: Pelakon Syatilla Melvin mendakwa tidak mencampuri urusan Syifa Melvin termasuk kontroversi ‘panas’ membabitkan hubungan adiknya dengan penyerang skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid.

Sebaliknya, Syatilla atau Tilla memberitahu, apa yang berlaku adalah asam garam yang perlu dilalui Syifa sebagai selebriti.

Justeru, ketika adiknya dikecam hebat netizen, Tilla mendakwa langsung tidak mengambil tahu.

“Selamat datang ke ‘dunia sebenar’... Itu sahaja boleh saya katakan kepada Syifa.

“Ini adalah pelajaran baharu untuk mematangkan dirinya sebagai selebriti. Sejujurnya, saya tidak ambil ‘port’ (tahu) langsung isu itu. Biarlah dia belajar atasi masalah itu sendirian.” katanya kepada BH Online.

Tilla berkata, Syifa tampak okay dan menjalani hidup seperti biasa selepas kontroversi tercetus.

“Bagaimanapun, sebagai adik-beradik, kami sentiasa ada dan menyokong sesama sendiri. Tidak kira dalam apa juga keadaan, susah atau senang.

“Apa saja kecaman netizen lemparkan kepadanya, saya tidak ambil tahu. Itu terpulanglah kepada mereka untuk kata apa sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai status IG Story yang dikatakan ada kaitan dengan kontroversi menimpa Syifa tetapi dipadamkan, Tilla menjelaskan, perkongsian itu tidak berkait dengan kekecohan yang berlaku.

Tilla berkata, sebagai pemilik akaun laman sosial itu, terpulang kepadanya untuk berkongsi apa sahaja yang terlintas dalam fikiran.

Rabu lalu, hubungan Syifa dan Safawi hangat diperkatakan apabila pelakon #Siscuba itu didakwa mendesak kekasihnya berkahwin sehingga Safawi dikatakan mempamer aksi kurang memberangsangkan, musim ini.

BH Online melaporkan, Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu dilihat gagal meneruskan rentak konsisten musim lalu apabila bergelut dan gagal memberikan impak seperti yang diharapkan kepada pasukannya.

Berita Harian X