X
Khamis, 5 March 2020 | 10:38pm
Pelakon, Syifa menyelar tindakan netizen mempertikaikan hadiah hari jadi pemberian kekasihnya, Safawi Rashid berupa telefon pintar dan tas tangan jenama. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pelakon, Syifa menyelar tindakan netizen mempertikaikan hadiah hari jadi pemberian kekasihnya, Safawi Rashid berupa telefon pintar dan tas tangan jenama. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Berhenti panggil Pawi bodoh'

KUALA LUMPUR: Pelakon yang juga personaliti media sosial, Syifa Melvin, 26, mohon netizen berhenti memanggil teman lelakinya, Safawi Rasid, 23, yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan gelaran bodoh.

Menerusi Insta Story, Syifa berkata, peminat sepatutnya memberikan semangat supaya dapat meningkatkan prestasi kerjaya Safawi, bukan terus mengecam.

“Berhenti panggil Safawi bodoh. Anda tak tahu seluruh cerita sebenar! Dia bukan saja-saja cakap macam itu! Salah dia cakap begitu, tapi dia ada sebab cakap macam itu. Tambahan pula adalah perbualan lama,” kata pelakon #Siscuba itu.

Syifa berkata, daripada menjadi juri, lebih baik memberikan sokongan moral kepada Safawi.

“Anda hendak dia menyerlah setiap masa kenalah berikan sokongan kepadanya, bukan cara menjatuhkannya, lebih lagi pada hari lahirnya,” katanya.

Syifa merayu semua pihak menghentikan salah faham, sebaliknya berusaha membawa semula Safawi ke landasan betul. Apatah lagi, teman lelakinya itu menanggung keluarga di kampung.

“Tolong jangan jatuhkan dia dengan benda bodoh dan peribadi seperti ini. Tiada gunanya. Tanggungan dia besar di kampung, tolonglah jangan buat begitu padanya.

“Ingat, dia budak kampung yang ada tanggungjawab besar untuk keluarga. Saya rela menahan makian peminat, asalkan dia tidak merasa tempias.

“Anda semua bebas untuk maki saya, tetapi bukan Safawi. Yang cari fasal, cari fasal dengan saya. Jadi, saya hadap sahaja sebab sudah lama tak puas hati nampak gayanya,” katanya yang tahu hati budi teman lelakinya itu.

Menurut Syifa, kekasihnya itu memiliki hati yang sangat baik. Bagaimanapun, setiap orang melakukan kesilapan.

“Dia muda lagi dan semua orang buat salah. Mengenali hatinya, dia sangat lurus dan baik. Atas tuntutan lain dia terpaksa!” katanya.

Syifa turut menyelar tindakan netizen mempertikaikan hadiah hari jadi pemberian Safawi berupa telefon pintar dan tas tangan jenama kepadanya, Januari lalu. Dia menjelaskan, ada perbezaan antara aksi memberi dan meminta.

“Berhentilah kongsi cerita Iphone Pro Max, LV dan sebagainya... Itu pemberian dan hadiah hari jadi.

“Dia beri dengan minta, boleh bezakan? Kalau tak boleh beza, nampak sangat bodoh. Tanya pula Safawi apa dia dapat?

“Tapi dia lelaki, jenis tak tunjuk. Jadi, jangan buat dosa percuma! Tak takut kena COVID-19 ke?,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Syifa cuba positif diri dengan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian.

Kongsinya, dia dan Safawi sentiasa memberi motivasi antara satu sama lain dalam menghadapi ujian besar itu.

“Kami positif walaupun berdepan ujian besar, bulan lalu. Kami berjaya menguruskan dengan baik. Sebab Allah bersama dengan orang teraniaya dan sabar,” katanya.

Berita Harian X