Khamis, 5 March 2020 | 11:00am
Aprena Manrose bersama arwah Abam ketika menjalani penggambaran filem Jodoh Syaitan di Kelantan. - Foto Instagram Aprena Manrose
Aprena Manrose bersama arwah Abam ketika menjalani penggambaran filem Jodoh Syaitan di Kelantan. - Foto Instagram Aprena Manrose

Ambil gambar muka buruk, Aprena tak marah arwah Abam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aprena Manrose, 27, sedih dan rasa kehilangan atas pemergian dua insan yang terbabit dalam filem pertamanya, Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hasim.

Produsernya, Allahyarham Datuk Mokharul Shamsul Moktar atau Asey meninggal dunia pada Mei tahun lalu, ia disusuli pula arwah Abam Bocey, baru-baru ini.

“Arwah Asey berjasa pada saya. Jika tidak kerana arwah, tak mungkin saya peluang membintangi filem Jodoh Syaitan ini. Saya tak kenal arwah mahupun pengarahnya, Ismail Bob Hasim sebelum ini, tetapi mereka begitu yakin dengan bakat dan kebolehan saya.

“Saya tak melalui uji bakat, sebaliknya terus dipujuk untuk membintangi filem ini. Awalnya, saya tidak yakin memandangkan saya masih baharu berlakon pada 2018, tetapi arwah sanggup memberikan peluang.

“Arwah Asey adalah kawan arwah Mama, tetapi saya tak mengenalinya. Kami hanya rapat selepas membintangi filem ini,” katanya kepada BH Online

Bercerita arwah Abam, Aprena berkata, dia mudah mendapat keserasian dengan arwah, biarpun kali pertama bertemu dan bekerjasama dengannya.

“Arwah, seorang yang periang dan suka membuat saya ketawa, walhal kami baru kenal. Walaupun saya berlakon sebagai hantu, dia pula pelawak tetapi arwah tak pernah ganggu emosi saya ketika bekerja.

“Tak nafikan, cabaran paling besar, saya dikelilingi pelakon seperti arwah Abam, Soffi Jikan, Jay Iswazir dan Kamarool Haji Yusoff yang suka buat lawak. Saya hanya menahan gelak setiap masa.

“Sepatutnya, saya digandingkan dengan arwah untuk sesi fotografi hari ini, tetapi Allah lebih menyayanginya. Saya amat terasa kehilangan seorang rakan yang amat baik budi pekerti dan suka membantu,” katanya yang tidak dapat memberi penghormatan terakhir kerana terbabit dengan penggambaran drama sehingga jauh malam.

Aprena berkata, dia tidak dapat melupakan kenangan dengan arwah.

“Saya masih ingat penggambaran belum selesai ketika jam 4 pagi. Kami kena tunggu kru produksi menggali kubur, kononnya itu kubur saya.

“Mata sudah mengantuk, tetapi saya berselera makan. Arwah mengambil gambar saya tengah makan dan memuat naik dalam Instagram (IG). Saya tahu arwah nak mengenakan saya.

“Dia bercakap pasal saya dalam IG. Saya tak rasa malu pun, walaupun muka saya buruk, saya anggap arwah nak berlawak. Sejak itu, hubungan kami makin rapat,” katanya.

Selain Aprena, filem terbitan Da Motion Media Sdn Bhd itu turut dibintangi Soffi Jikan, Allahyarham Abam Bocey, Jay Iswazir, Kamarool Haji Yusoff dan Fauziah Nawi. Filem bergenre seram komedi itu akan menemui penonton di pawagam bermula hari ini.

Berita Harian X