X
Rabu, 4 March 2020 | 4:00pm
Syifa menafikan hubungan dengan Safawi jadi punca punca prestasi penyerang JDT itu merosot. Foto/NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman
Syifa menafikan hubungan dengan Safawi jadi punca punca prestasi penyerang JDT itu merosot. Foto/NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Syifa nafi hubungan jejas prestasi Pawi

KUALA LUMPUR: Pelakon Syifa Melvin yang dikaitkan dengan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menafikan hubungan mereka menjadi punca prestasi kurang memberangsangkan penyerang itu.

Syifa yang terkejut dengan laporan disiarkan kerana tidak pernah ‘membuka’ mulut selepas kontroversi prestasi Safawi tular, mendakwa dia tidak pernah meminta penyerang JDT itu menyara hidupnya.

“Saya bekerja keras cari duit sendiri, tidur tak cukup apatah lagi rehat tak cukup untuk membiayai diri sendiri dan menampung perbelanjaan.

“Tak pernah sekali meminta duit dia untuk sara hidup... Dia pun kenal Syifa macam mana,” katanya melalui entri Instagram.

Mengulas kontroversi tercetus, Safawi memberitahu BH Online, dia bertekad kembali ‘mengaum’ selepas memperaga aksi kurang memberangsangkan dalam tiga aksi diharungi musim ini.

Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu dilihat gagal meneruskan rentak konsisten musim lalu apabila bergelut dan gagal memberikan impak seperti yang diharapkan kepada pasukannya.

Syifa juga menafikan dia memaksa Safawi untuk berkahwin.

“Demi Allah tak pernah sesekali (paksa kahwin) tapi Syifa yakin dan tahu kenapa dia beri alasan sebegitu... Cuma dia sahaja tahu,” katanya.

“Soal dia tidak beraksi di atas padang, tidak kena mengena dengan soal peribadi. Sekalipun Syifa tidak pernah usik hal kerjaya dia, malah selalu berdoa dan beri sokongan.

“Tidak tahu pula boleh jadi besar macam ni.. Terima kasih kepada yang komen maki, hina atau puji.

“Syifa doakan kamu semua jangan melatah dengan apa yang dibaca, yang alami dan rasa hanya kami berdua. Semoga semua dalam lindungan Allah,” katanya.

Berita Harian X