Isnin, 2 March 2020 | 1:30pm
Aishah menerima kunjungan penerbit, Gayatri Su Lin ketika majlis tahlil arwah abangnya, Ashraf Sinclair di Masjid Al Ghufran TTDI. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Aishah menerima kunjungan penerbit, Gayatri Su Lin ketika majlis tahlil arwah abangnya, Ashraf Sinclair di Masjid Al Ghufran TTDI. NSTP/ROHANIS SHUKRI

Aishah kongsi duka di konti radio

KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Aishah Sinclair kembali bertugas di konti radio Mix FM pagi ini selepas pemergian abangnya, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Kehadiran Aishah berceloteh pada jam 6 pagi ini selepas hampir dua minggu bercuti disambut dua temannya, Prem Shanker dan Rod Monteiro yang mengendalikan program Mix Breakfast.

Pagi ini, pendengar frekuensi radio itu diberi peluang berbual dan bertanyakan apa sahaja soalan termasuklah detik sukar Aishah dan keluarga menempuh kehilangan abang hingga berusaha bangkit menjadi kuat.

Teman gandingannya menyifatkan Aishah tabah seperti judul lagu dendangan Alicia Keys berjudul Superwoman. Kebanyakan pendengar yang membuat panggilan berharap ibu kepada dua cahaya mata itu bangkit menempuh hari mendatang tanpa insan tersayang.

Aishah kedengaran cukup tenang dan ‘cool’ berkata, bukan mudah melalui detik kehilangan itu.

“Namun, saya menjadi lebih bersemangat apabila ramai meniup kekuatan buat saya. Saya dan keluarga tidak sendirian melalui detik kehilangan ini kerana begitu ramai sayang pada arwah.

“Saya rasa lebih kuat apabila ada insan dikenali mahupun tidak hadir menitipkan doa serta mesej yang positif.

“Ketiadaan arwah membuat hubungan saya dengan adik, Adam Sinclair bertambah teguh, biarpun dia akan pulang ke Amerika Syarikat, tidak lama lagi,” katanya kepada BH Online.

Aishah berkata, dia terharu apabila ramai yang sudi mendoakan kesejahteraan arwah abangnya.

“Ada ramai yang menganjurkan majlis tahlil buat arwah termasuk jiran tetangga ketika saya dan keluarga masih berada di Jakarta, Indonesia. Mereka menghantar video ketika majlis berlangsung.

“Saya dan keluarga tersentuh dengan apa yang mereka lakukan. Bukan sahaja di Malaysia malah ramai turut berduka atas pemergian arwah di Indonesia,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil di Masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail anjuran Primeworks Studios, TGV Pictures, Infinitus dan Sunstrong Entertainment, baru-baru ini.

Katanya, sukar mempercayai abangnya sudah tiada. Namun sebagai hamba-Nya, Aishah reda dan mahu fokus memberikan semangat untuk ibu bapanya, selain balu arwah, Bunga Citra Lestari dan anaknya, Noah Aidan Sinclair.

“Terlalu banyak kenangan bersama arwah. Kami melalui suka duka sebagai adik beradik sejak berpuluh tahun.

“Arwah, seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Ketika arwah membuat keputusan untuk berhijrah ke Jakarta, saya terlalu merinduinya kerana kami akan hidup berjauhan.

“Apa yang pasti, sifat arwah yang sentiasa bekerja keras dan suka membantu orang lain akan terus hidup sampai bila-bila. Sesibuk manapun, arwah akan cuba memberikan masa untuk keluarga dan temannya.

“Saya mahu mengikut jejak sepertinya. Dapat separuh macam diri arwah pun sudah memadai,” katanya.

Berita Harian X