Sabtu, 29 Februari 2020 | 4:27pm
Tampil pada sidang media di ibu negara, hari ini, Naim mempertaruhkan lagu baharu, Sembah hasil kerjasama dengan gitaris ‘otai’, Man Keedal. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Tampil pada sidang media di ibu negara, hari ini, Naim mempertaruhkan lagu baharu, Sembah hasil kerjasama dengan gitaris ‘otai’, Man Keedal. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

'Hantar e-mel kan senang...'

KUALA LUMPUR: ‘Mudah sahaja... Tunjuk bukti dalam e-mel.’

Enggan berganjak dengan pendirian, penyanyi Naim Daniel meminta bekas teman wanita, Dayana Amerda melayangkan bukti berhubung hak penciptaan lagu Sumpah melalui e-mel, seperti dinyatakan sebelum ini.

Naim berkata, kaedah mengirimkan bukti dan hujah melalui e-mel kepada syarikat pengurusan dianggap paling mudah dalam mencari penyelesaian kemelut lagu Sumpah yang meraih trofi utama Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, bulan lalu.

“Bukan saya sengaja mahu memanjangkan kemelut ini. Tetapi, saya kira, permintaan agar mereka mengirim e-mel adalah kaedah paling cepat dan mudah.

“Saya tetap dengan pendirian ini atas nasihat peguam. Saya tidak mahu menjadi seperti burung kakak tua yang boleh bersuara, namun tidak tahu apa yang diperkatakan.

“Saya percaya, kita boleh bertindak dengan cara paling profesional berbanding memilih menyelesaikannya pada sidang media,” katanya selepas majlis pelancaran single terbaru berjudul Sembah yang menampilkan gitaris ‘otai’, Man Keedal di sini, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, Dayana, 21, ibunya, Che Rohaida Che Daud dan peguam dilantik, mengadakan sidang media menuntut Naim membuat pengakuan terbuka berhubung hak penciptaan lagu Sumpah yang didakwa milik mereka berdua.

Dalam kenyataan balas, syarikat pengurusan Naim, World Peace (WP) Entertainment Sdn Bhd mahu Dayana melayangkan e-mel mengandungi bukti berhubung hak penciptaan lagu berkenaan.

Sehingga hari ini, isu lagu Sumpah bagai ‘tergantung’ kerana masing-masing enggan berganjak pendirian mereka.

Malah, Che Rohaida dilaporkan masih menunggu maklum balas WP Entertainment untuk menetapkan hari membolehkan mereka berjumpa Naim bagi menyelesaikan kemelut itu.

Naim mendakwa, dia ada menghantar mesej melalui WhatsApp kepada Che Rohaida untuk berjumpa, namun, ditolak.

“Saya simpan semua perbualan kami di WhatsApp sebagai langkah keselamatan.

“Saya mengaku menghantar mesej sehari sebelum sidang media. Saya beritahu, kalau ada masalah, kita boleh berjumpa atau mungkin boleh berbincang melalui telefon.

“Bagaimanapun, pihak sana menolak. Mereka hanya bersedia untuk bertemu selepas sidang media. Disebabkan mereka tetap dengan pendirian itu, saya juga berhak mempertahankan permintaan saya.

“Seperti saya nyatakan kepada media dan status Instagram (IG), jika mereka ingin membuat tuntutan ke atas lagu, kemukakan bukti dalam e-mel,” katanya sambil mendakwa pihaknya belum menerima sebarang e-mel daripada Dayana berhubung perkara itu.

Naim berkata, dia dan syarikat pengurusan mahu menyelesaikan isu hak penciptaan lagu Sumpah seperti didakwa Dayana, dengan baik.

“Jika mereka ada bukti, Alhamdulillah, kami boleh selesaikan kemelut secara baik. Kami akan berlapang dada dan memudahkan syarikat rakaman membuat tindakan susulan.

“Malangnya, hingga ke hari ini, tiada sebarang bukti diterima,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lagu Sembah yang meraih lebih 1.5 juta tontonan di YouTube, Naim berkata, penampilan Man Keedal diilhamkan daripada gabungan mendiang Michael Jackson dengan pemain gitar, Carlos Santana dalam lagu What Ever Happens.

“Selalunya, penyanyi memilih berkolaborasi dengan penyanyi atau rapper. Tetapi saya terfikir, kenapa tidak saya tampilkan kelainan.

“Kebetulan saya pernah menonton persembahan Michael dan Carlos. Jadi, kenapa tidak saya cuba bawa sesuatu yang berbeza,” katanya sambil menambah Man Keedal bersetuju tampil dalam single itu selepas beberapa jam pesanan disampaikan kepadanya.

Berita Harian X