Sabtu, 29 Februari 2020 | 11:16am
Sabariah gagal mengawal perasaan ketika menonton filem Jodoh Syaitan lakonan anaknya pada sesi tayangan perdana filem berkenaan di Petaling Jaya, malam tadi. Foto/NSTP Eizairi Shamsudin
Sabariah gagal mengawal perasaan ketika menonton filem Jodoh Syaitan lakonan anaknya pada sesi tayangan perdana filem berkenaan di Petaling Jaya, malam tadi. Foto/NSTP Eizairi Shamsudin

Sokonglah filem anak saya - Ibu Abam

PETALING JAYA: Ibu Allahyarham Abam Bocey, Sabariah Arshad menitiskan air mata selepas menonton filem Jodoh Syaitan lakonan anaknya, pada sesi tayangan perdana filem terbabit, di sini, malam tadi.

Menangis teresak-esak, Sabariah terasa seolah-olah anaknya masih hidup dan berada di sisinya.

“Apabila menonton filem ini, makcik terbayang seperti dia ada sebelah makcik,” katanya kepada BH Online.

Pada majlis itu, Sabariah, 63, menerima sumbangan daripada produksi filem terbabit, DA Motion Media.

Sabariah berharap peminat Allahyarham Abam akan menyokong filem Jodoh Syaitan.

“Terima kasih kepada syarikat produksi kerana prihatin. Walaupun arwah sudah tiada, mereka masih ingat kepadanya.

“Saya harap semua pihak dapat menyokong filem ini,” katanya.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhhtar Syed Mohd Ridhuan, meninggal dunia dipercayai akibat demam panas di kediamannya di Gombak, pada 10 Februari lalu.

Selain Abam, Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hasim turut menampilkan Soffi Jikan, Aprena Manrose, Jay Iswazir, Fauziah Nawi dan Kamarool Yusoff.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam, Khamis ini.

Berita Harian X