Sabtu, 29 Februari 2020 | 11:00am
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah menyokong minat anak-anaknya, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani menceburi bidang nyanyian. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah menyokong minat anak-anaknya, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani menceburi bidang nyanyian. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Jamal letak syarat pada Osama, Zaki

KUALA LUMPUR: Penghibur terkenal, Datuk Jamal Abdillah tidak menghalang minat dua anak lelaki, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13, mengikuti jejaknya sebagai penyanyi.

Pepatah Melayu, ke mana tumpah kuah, jika tidak ke nasi. Selepas Osama menyerlahkan bakat nyanyian dan menyertai syarikat label, MVM Production. Kini, adiknya, Zaki muncul dengan single, Percayalah di bawah Rusa Music.

Jamal berkata, beliau menyokong minat anak-anaknya, tetapi tidak mahu mereka hanyut tanpa arah tujuan.

“Saya pernah dihalang bapa ketika memilih kerjaya sebagai penyanyi. Saya tidak mahu episod lalu membayangi hidup anak-anak, cuma saya meletakkan syarat.

“Faham sahaja anak zaman sekarang. Nak halang minat mereka tidak boleh terlalu ekstrim. Saya pernah berdepan pengalaman apabila minat ditentang ayah.

“Tetapi, saya tetap berkeras dan degil nak buat benda yang ditentang. Jadi, ia seperti putaran roda, kini kembali kepada hidup saya. Nak kata saya terlalu memberi galakan dan sokongan tidak juga, namun mereka kena pastikan soal akademi menjadi keutamaan.

“Pada tahap ini, saya sokong kerjaya seni mereka. Dengan pengalaman selama lebih empat dekad, mereka cukup tahu apa yang saya lalui hingga ke tahap hari ini,” katanya kepada BH Online.

Jamal ditemui pada sidang media Konsert Alunan Irama di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Sisi lain, kehadiran anak perempuan, Nur Azura Yamani berusia hampir lima bulan hasil perkahwinan dengan Datin Zai Izzati Khiruddin mengubah kehidupannya.

“Ia fasa baharu buat saya. Selepas sekian lama tiada anak kecil, kehadiran Azura mencuit hati.

“Sampaikan saya malas nak nak keluar rumah kerana tidak berenggang dengan Azura. Jika dahulu, saya bawa isteri keluar berjalan-jalan sekiranya ada masa terluang.

“Mujur Azura masih menyusu badan, jadi saya selamat. Sebagai suami, saya tetap memberi sokongan dan bantuan,” katanya.

Mengulas konsert amal itu, penyanyi lagu Azura itu bakal berkongsi pentas dengan Dayang Nurfaizah, selain Datuk Yusni Hamid dan Haziq Rosebi.

Konsert anjuran Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Persatuan Karyawan Malaysia, IB, Educaring Team dan Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 11 April depan di Panggung Sari, IB.

Tiket konsert amal ini dijual pada 10 Mac dan boleh ditempah dengan melayari laman sesawang, www.myticket.asia.

Berita Harian X