Sabtu, 29 Februari 2020 | 9:44am
BCL mendendangkan rangkaian lagu popular penuh emosi dalam persembahan sulungnya selepas pemergian suami di Jakarta, malam tadi. - NSTP/Ihsan KOMPAS.com
BCL mendendangkan rangkaian lagu popular penuh emosi dalam persembahan sulungnya selepas pemergian suami di Jakarta, malam tadi. - NSTP/Ihsan KOMPAS.com

BCL menangis di pentas

KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari kehilangan suami tercinta, penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) membuat kemunculan sulung dalam persembahan di SQ Dome, Cilandak, Jakarta Selatan, malam tadi.

Tampil dalam busana serba hitam, balu Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu itu, tidak dapat menahan air mata sepanjang mendendangkan lagu Cinta Sejati, lapor agensi.

Sebelum memulakan persembahan, BCL berpesan kepada penonton agar menjaga insan dicintai.

"Hargai waktu kalian bersama orang yang dicintai. Kalian tidak akan tahu bila waktu itu akan selesai," katanya sambil mengesat air mata dipipi.

BCL juga memberitahu, ini kali pertama dia membawakan lagu Cinta Sejati selepas Ashraf pergi meninggalkan dirinya dan anak, Noah Aidan Sinclair untuk selama-lamanya.

“Ini kali pertama, selepas cinta sejati saya pergi buat selama-selamanya, saya akan membahagikan cinta kepada semua orang," katanya.

BCL turut meminta maaf kepada peminat kerana tidak dapat menyempurnakan lagu Cinta Sejati dengan baik akibat terlalu emosi.

Biarpun cuba mempamerkan wajah ceria, BCL gagal menyorokkan kesedihan yang masih bersisa pada wajahnya. Lagu-lagu yang dibawakan semua bertemakan cinta dan keluarga.

BCL memberitahu, ketika ini dirinya masih belum boleh membawakan lagu-lagu bernuansa gembira.

"Maaf kalau belum boleh membawakan lagu rancak seperti biasa. Tapi saya tetap bawa penari, BCL Boys saya,” katanya.

Selesai persembahannya, BCL dilihat menangis teresak-esak dalam pelukan dua rakannya, Afgan dan Vidi.

Berita Harian X