Sabtu, 29 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo bertukar arah muzik demi menambat hati pendengar. - NSTP/Luca Sickta dan Kmy Kmo
Penyanyi, Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo bertukar arah muzik demi menambat hati pendengar. - NSTP/Luca Sickta dan Kmy Kmo

Luca, Kmy ketepi ego demi Siti

KUALA LUMPUR: Bekerjasama dengan penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat umpama serampang dua mata buat penyanyi duo, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Bukan mahu menumpang populariti Siti, sebaliknya lagu 7 Nasihat menjadi eksperimen mereka untuk peminat muzik. Demi Siti, Kmy dan Luca mengenepikan ego dalam menzahirkan karya terbaharu itu.

Lagu 7 Nasihat bukan sahaja ciptaan Kmy dan Luca, malah menampilkan mereka berpadu suara dengan penyanyi Anta Permana itu. Lagu 7 Nasihat terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music dilancarkan sejak 20 Februari lalu.

Penyanyi, Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo. - NSTP/Luca Sickta dan Kmy Kmo
Penyanyi, Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo. - NSTP/Luca Sickta dan Kmy Kmo

Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin berkata muzik mereka kedengaran mistik dan berat selama ini.

“Jalur perjuangan muzik kami mistik dan berat sejak dahulu. Cuma, kami mahukan muzik lebih ringan dan diterima ramai apabila bekerjasama dengan Siti.

“Siti menjadi sasaran kami untuk menukar arah muzik kerana beliau cukup dekat di hati penggemar.

“Lagu 7 Nasihat lebih mudah di hadam,” katanya kepada BH Online.

Luca berkata, proses kerjasama dirancang sejak 2018, tetapi hanya termeterai pada tahun ini.

“Selepas muncul dengan lagu Zuhud bersama Datuk M Nasir, kami merancang satu lagu untuk Siti. Hanya selepas proses promosi lagu Zuhud berakhir hujung tahun lalu, langkah kanan kami terbuka luas. Kebetulan kami di bawah Universal Music, jadi proses bertambah mudah.

“Universal Music memperdengarkan lagu 7 Nasihat kepada pihak pengurusan Siti dan mereka bersetuju. Proses ini lebih cepat berbanding lagu Zuhud yang mengambil masa setahun untuk pengesahan,” katanya.

Katanya, lagu 7 Nasihat sarat dengan mesej berguna. Antara lain menekankan nilai positif seperti berbaik budi sesama manusia, ingat pesanan orang tua dan bersihkan hati.

Berita Harian X