Khamis, 27 Februari 2020 | 6:51pm

Itu bukan saya - Ammar Alfian

KUALA LUMPUR: Panas dengan kontroversi video lucah yang mengaitkan dirinya, pelakon Ammar Alfian menafikan dakwaan dia adalah pelaku dalam aksi tidak senonoh yang tular, sejak beberapa hari lalu.

Memberitahu BH Online, Ammar, 33, berkata, dia mahu menegakkan kebenaran dan membersihkan nama, apatah lagi status dirinya sebagai suami dan bapa kepada seorang cahaya mata.

“Saya buat laporan polis kerana yakin dan tahu saya di pihak benar. Selama ini, saya lihat ada kes seumpama ini yang membabitkan selebriti dan mereka teruk dihentam.

“Ada yang berdiam diri dan membiarkan isu berlalu serta berharap orang lupa.

“Saya mengaku pernah berada dalam situasi sama. Tapi dengan status sekarang sudah berkahwin dan ada anak, saya fikir elok ditegakkan kebenaran.

“Saya tak takut atau gentar kerana berada di pihak betul. Saya mahu anak tahu biarpun dia masih belum faham sekalipun, bahawa bapanya bukan penakut.

“Selama ini, kalau ada kontroversi menghentam, saya lebih banyak berdiam diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Malam tadi, BH Online melaporkan, seorang artis membuat laporan polis menafikan dakwaan terbabit dalam video lucah seks sejenis yang tular di media sosial.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Ara Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 2 petang semalam.

Ammar berkata, dengan kontroversi terbaru melanda diri, dia tidak boleh bertolak ansur.

“Saya bukan gay dan tak pernah terpesong begitu... Saya lelaki tulen,” katanya.

Ammar bersyukur masih ada peminat dan netizen yakin fizikal lelaki yang dipaparkan dalam video terbabit, bukan dirinya.

“Kalau dilihat sekali imbas, memang boleh cakap itu saya berdasarkan warna kulit dan jambang. Tanpa ditunjuk muka sekalipun, ada yang mula menebak lelaki itu adalah saya. Tapi hakikatnya, bukan saya.

“Saya sudah bersedia dengan apa saja reaksi dan kemungkinan. Saya harap laporan polis akan menjadi alasan untuk orang tidak terus menghentam dan menjatuhkan hukuman kepada saya.

“Saya ada bukti kukuh dan kebenaran. Peguam beritahu saya boleh ambil tindakan kepada mereka yang menyebarkan berita fitnah dan palsu ini,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi isteri, Nelissa Nezam berhubung kontroversi itu, Ammar yang ketika ini berdepan masalah rumah tangga, tidak menyangka wanita itu mempercayainya.

“Dia seolah-olah percaya 100 peratus. Itu yang membuatkan saya sedih dan disebabkan video itu, saya dilarang berjumpa anak kami, Kyro Shakur yang berusia lapan bulan.

“Bayangkan, isteri yang selama ini kenal saya, buat saya luluh apabila dia percaya dengan rakaman itu. Dia boleh fikir saya terpesong.

“Bagaimana pula dengan orang lain yang pantas menghukum?” katanya yang risau memikirkan bagaimana ahli keluarga termasuk ibu bapa berdepan dengan kontroversi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk memanggil saksi bagi membantu siasatan.

Nik Ezanee berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada pertemuan eksklusif dengan BH Online, petang tadi, Ammar menafikan dirinya pelaku dalam video seks sejenis yang tular, sejak beberapa hari lalu. Foto NSTP/Zaidi Mohamad
Pada pertemuan eksklusif dengan BH Online, petang tadi, Ammar menafikan dirinya pelaku dalam video seks sejenis yang tular, sejak beberapa hari lalu. Foto NSTP/Zaidi Mohamad
Berita Harian X