Khamis, 27 Februari 2020 | 1:00pm
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah tampil dalam konsert amal, Alunan Irama di Istana Budaya pada 11 April depan. NSTP/Fathil Asri
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah tampil dalam konsert amal, Alunan Irama di Istana Budaya pada 11 April depan. NSTP/Fathil Asri

Jamal, Dayang berkongsi pentas IB

KUALA LUMPUR: Berpaksikan acara amal, penghibur popular, Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah akan berkongsi pentas menerusi Konsert Alunan Irama di Istana Budaya (IB) pada 11 April depan.

Tidak sampai sebulan kemunculan menerusi Konsert Kesuma Jiwa 2020 yang juga hadiah istimewa Datuk Rizalman Ibrahim pada 20 Februari lalu, Dayang kembali beraksi dengan Jamal, Datuk Yusni Hamid dan Haziq Rosebi.

Konsert dianjurkan oleh Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Persatuan Karyawan Malaysia, IB, Educaring Team dan Pejabat Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dayang berkata, dia bersyukur diberi peluang keemasan ini, selepas Konsert Kesuma Jiwa 2020.

“Konsert amal lebih istimewa. Ini kerana kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan amat dihargai.

“Apatah lagi, ia atas paksi konsert amal untuk membantu insan seni dan sektor pendidikan di Kuala Lumpur,” katanya kepada BH Online.

Lebih mengujakan, penyanyi Hakikat Cinta itu berkata, dia dapat berkongsi pentas bersama Jamal.

“Saya pernah diundang berduet dengan Jamal dalam satu konsertnya kira-kira lapan tahun lalu. Saya teruja dapat berkongsi pentas dengannya.

“Beliau antara penyanyi yang selalu saya jadikan inspirasi. Masih kekal relevan dan memiliki aura yang teguh.

“Walaupun tidak aktif seperti penyanyi lain di laman sosial, tetapi namanya tetap utuh dan menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan konsert.

“Saya belum pasti sama ada berduet atau tidak dengannya. Dapat kongsi pentas pun saya sudah bersyukur,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dayang juga tidak sabar menantikan single terbaharu yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Kali terakhir muncul dengan lagu Sebentar ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan di bawah Faithful Music, Dayang berkata, dia sekali lagi menggunakan khidmat dua komposer itu.

“Saya tak sabar menantikan single ini dikeluarkan dalam masa yang terdekat. Ia dijangka minggu depan.

“Ia berkonsepkan pop tetapi sentuhan istimewa. Saya juga berduet dengan Faizal untuk lagu ini.

“Teaser untuk single ini saya sudah kongsi di IG, baru-baru ini,” katanya.

Peminat boleh melayari www.myticket.asia mulai 10 Mac depan bagi mendapatkan tiket Konsert Alunan Irama.

Berita Harian X