Khamis, 27 Februari 2020 | 11:00am
Pencipta lagu, Dayana Amerda mahu menyelesaikan kemelut isu hak penciptaan lagu Sumpah dengan segera. NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pencipta lagu, Dayana Amerda mahu menyelesaikan kemelut isu hak penciptaan lagu Sumpah dengan segera. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dayana mahu bertemu, enggan hantar bukti menerusi e-mel

KUALA LUMPUR: Wanita yang mendakwa bekas kekasih Naim Daniel, Dayana Amerda, 21, belum menerima maklum balas Naim mahupun syarikat pengurusannya, World Peace Entertainment (WPE) berhubung isu hak penciptaan lagu Sumpah yang juga juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, awal bulan ini.

Kata Dayana atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, sehingga kini, Naim mahupun WPE tidak menghubungi atau berjumpa dengannya untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya mahu bertemu dengan wakil WPE untuk mengemukakan bukti, tetapi mereka tidak mahu berjumpa atas alasan saya sudah mengadakan sidang media terlebih dahulu, sebelum berjumpa.

“WPE minta saya menghantar bukti menerusi e-mel. Bagaimanapun, saya memutuskan tidak menghantar sebarang bukti menerusi e-mel, melainkan selepas Naim dan WPE bersetuju untuk berjumpa,” katanya kepada BH Online.

Menjawab secara ringkas menerusi aplikasi Whatsapp, Dayana enggan mengulas lebih lanjut dan hanya berharap kemelut dapat diselesaikan segera berikutan tidak mahu menjadi mangsa kecaman netizen.

Pada 19 Februari lalu, Dayana mengadakan sidang media menuntut Naim membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan lagu Sumpah. Dayana mahu penyanyi itu bersikap jujur mengenai hak lagu ciptaan bersama yang dihasilkan sekitar 2015 itu.

Dayana memberi tempoh seminggu iaitu sehingga semalam untuk Naim membuat pengakuan, namun tiada sebarang tindakan diambil dari Naim mahupun syarikat pengurusannya.

Berita Harian X