Rabu, 26 Februari 2020 | 1:11pm
Naim dakwa belum terima bukti daripada Dayana berhubung isu penciptaan lagu Sumpah. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Naim dakwa belum terima bukti daripada Dayana berhubung isu penciptaan lagu Sumpah. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Takda pun e-mel - Naim Daniel

KUALA LUMPUR: Penyanyi Naim Daniel mendakwa belum menerima bukti daripada bekas kekasihnya, Dayana Armeda berhubung isu hak penciptaan lagu Sumpah yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, awal bulan ini.

Naim mendakwa, syarikat pengurusannya, World Peace (WP) Entertainment Sdn Bhd masih belum menerima sebarang e-mel daripada Dayana berhubung isu dibangkitkan.

“Setakat ini, tiada apa-apa bukti yang dikirim melalui e-mel kepada pihak pengurusan saya. Mengenai langkah seterusnya, saya serahkan kepada syarikat rakaman untuk membuat keputusan,” katanya kepada BH Online.

Rabu lalu, pada sidang media, Dayana yang mendakwa dirinya bekas kekasih Naim, memberi tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan lagu Sumpah.

Dayana mahu pemenang trofi utama Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu bersikap jujur mengenai apa yang didakwa hak penciptaan bersama lagu berkenaan.

Dalam kenyataan balas, WP Entertainment mahu Dayana mengemukakan bukti kukuh lagu Sumpah adalah milik dirinya dan artis naungan mereka.

Syarikat itu dalam kenyataan menyebut, sejak April tahun lalu, hak cipta lagu Sumpah menjadi milik Naim sebagai penulis lirik, manakala gubahan lagu dihasilkan bersama Omar K.

Bagaimanapun, WP Entertainment sedia menimbang tuntutan Dayana Amerda atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, 21, jika isu dibangkitkan benar dan muktamad.

Sementara itu, wakil WP Entertainment mengesahkan belum menerima maklum balas daripada Dayana.

Wakil syarikat itu memberitahu, maklumat lanjut mengenai kemelut hak penciptaan lagu Sumpah akan dijelaskan pada sidang media sempena pelancaran single baharu Naim berjudul Sembah, tidak lama lagi.

“Kami hanya menunggu bukti yang didakwa dimiliki pihak sebelah sana (Dayana). Jika mereka ada bukti, barulah kami memikirkan tindakan yang boleh diambil.

“Setakat ini, tiada tindakan yang dapat diambil,” katanya.

Sementara itu, BH Online masih berusaha mendapatkan Dayana berikutan tempoh seminggu yang diberi kepada Naim untuk membuat pengakuan terbuka berhubung hak pemilikan lagu Sumpah, berakhir hari ini.

Berita Harian X