Isnin, 24 Februari 2020 | 2:45pm
Dayang bakal muncul dengan single baharu, tahun ini. Foto NSTP/Syakirah Azhar
Dayang bakal muncul dengan single baharu, tahun ini. Foto NSTP/Syakirah Azhar

Dayang Nurfaizah rancang album Melayu asli

KUALA LUMPUR: Memukau penonton dengan alunan lagu Melayu asli pada Konsert Kesuma Jiwa 2020 minggu lalu, Dayang Nurfaizah merancang menghasilkan album genre sama sebagai hadiah buat peminat.

Dayang berkata, dia terbuka dengan idea merakamkan lagu Melayu asli dan karya klasik dalam album istimewa.

“Memang ada perancangan ke arah itu... Saya mahu melakukannya dan sentiasa merancang.

“Saya cuma berharap projek ini akan menjadi kenyataan, suatu hari nanti,” katanya kepada BH Online.

Khamis lalu, Dayang mengalunkan lagu Melayu asli pada konsert yang dibawa pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim bagi meraikan persahabatan mereka selama dua dekad di Istana Budaya, di sini.

Antara lagu yang dipersembahkan Dayang adalah Kesuma Jiwa, Bisikan Hati, Laksamana Raja Di Laut dan Tari Tualang Tiga.

Pada konsert itu, Rizalman turut mempersembahkan koleksi busana terakhir rekaannya untuk gedung talian, Zalora.

Dayang berkata, rancangan menerbitkan album Melayu asli dan klasik bukanlah mudah.

“Projek ini memerlukan perancangan rapi. Bukan mudah hendak mendapatkan karya yang menarik dan produk berkualiti,” katanya yang pernah menyertai pertandingan lagu Melayu asli sebelum mencipta nama sebagai penyanyi.

Dalam perkembangan lain, Dayang memberitahu, dia bakal muncul dengan single baharu, tidak lama lagi.

“Saya harap dapat hadiahkan peminat dengan sebuah lagu baharu, tahun ini,” katanya.

Berita Harian X