Ahad, 23 Februari 2020 | 1:00pm
Penyanyi, Tomok mahu menunjukkan contoh terbaik untuk anak-anaknya. NSTP/Eizairi Shamsudin
Penyanyi, Tomok mahu menunjukkan contoh terbaik untuk anak-anaknya. NSTP/Eizairi Shamsudin

Urus jenazah sahabat hingga liang lahad

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tomok antara artis muda yang rajin menghadiri pengebumian dan membantu menguruskan jenazah sahabatnya yang terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Seperti pengebumian pelawak, Allahyarham Abam, pengarah muzik, Faizal Uzir dan Pegawai Perhubungan Awam, Suria Records (SRC), Bahanordin Deraman, Tomok antara penyanyi yang mengiringi perjalanan akhir dan menyambut jenazah hingga ke liang lahad.

Kata Tomok, ia adalah tanggungjawab sebagai umat Islam. Jika ada kematian dan sakit, kita sesama Islam perlu ziarah menziarahi.

“Insan yang pergi adalah teman baik. Sepanjang kerjaya, saya dikelilingi dan dibantu mereka. Pemergian mereka membuatkan saya rasa kehilangan, jadi tidak salah, saya mencurah bakti buat kali terakhir.

“Ia menjadi tanggungjawab saya untuk membawa ke tanah perkuburan, menyegerakan dan memudahkan pengebumian mereka. Saya percaya jika teman baik pergi, anda juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Bekas Kekasih itu berkata, dia terkesan dengan pemergian insan yang pernah membawanya dan kumpulan New Boyz ke puncak iaitu arwah Bahanordin atau Bad suatu ketika dahulu.

“Arwah Abang Bad, antara insan yang pernah menguruskan saya dan New Boyz ketika kami mula menceburi bidang nyanyian. Banyak susah senang yang dilalui bersama. Dialah insan yang berada bersama kami ketika New Boyz berada di puncak populariti.

“Tentunya, saya tidak mampu melupakan kenangan dengan arwah Abam. Kami sering mengadakan persembahan dan melepak bersama. Jadi, saya cuba sampai seawal mungkin untuk menguruskan jenazah apabila mengetahui berita kematian mereka,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia sanggup ketepikan komitmen dan bergegas membantu menguruskan jenazah demi sahabatnya.

“Bila lagi saya mahu bertemu dengan arwah, inilah masanya untuk memberikan penghormatan terakhir. Kerja, bila-bila masa boleh buat. Jadi, mengapa tidak saya meluangkan masa sekejap untuk sahabat yang terlebih dahulu dijemput sang pencipta.

“Kita semua akan melalui perkara yang sama. Berdepan dengan kematian sahabat dan sanak saudara membuatkan saya mahu memperbaiki diri memandangkan usia meningkat dan anak-anak juga sudah membesar. 

“Saya sebagai ayah perlu menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak. Saya mahu pengakhiran nanti biarlah yang terbaik, untuk saya dan sahabat semua,” katanya yang terpaksa membatalkan konsert bersama New Boyz di Singapura berikutan wabak coronavirus (COVID-19) pada September ini.

Berita Harian X