Sabtu, 22 Februari 2020 | 3:00pm
Kmy dan Luca tidak lupa momen bertemu Siti bagi merakamkan lagu 7 Nasihat. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Kmy dan Luca tidak lupa momen bertemu Siti bagi merakamkan lagu 7 Nasihat. Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Siti tunggu 'BBNU' setengah jam

KUALA LUMPUR: Mendakwa diri jadi tak keruan apabila hasrat bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza termakbul, duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta mengaku terlambat 30 minit pada hari rakaman single 7 Nasihat bersama penyanyi tersohor itu, awal bulan ini.

Menceritakan insiden itu, Luca memberitahu, Siti yang tiba dahulu di studio rakaman, terpaksa menunggu mereka yang kelam-kabut hingga sesat mencari lokasi premis berkenaan.

“Selama ini, kami tidak pernah lambat dalam urusan kerja. Namun, kali ini, penangan dan aura Siti membuatkan kami tidak keruan.

“Kami boleh sesat dan tidak tahu mencari lokasi studio berkenaan. Rasa gementar untuk berjumpa Siti usah ceritalah... Memang lain macam. Kami takkan lupa detik itu,” katanya kepada BH Online.

Luca berkata, setibanya mereka di studio, Siti menyambut dengan senyuman manis.

“Siti hilangkan rasa bersalah kami dengan senyuman... Sungguh bermakna. Kami panggil ‘Datuk’, beliau jawab panggil ‘Kak Iti’ sahaja.

“Siti cukup mesra dan proses rakaman berjalan lancar serta cepat. Kebetulan kami semua orang Pahang, jadi keserasian ada,” katanya.

Luca berkata, mereka kagum kerana Siti dapat menyudahkan rakaman bahagian dirinya tidak sampai 30 minit.

“Tak sedar masa berlalu... Tiba-tiba kerja sudah siap,” katanya.

Khamis lalu, memilih tarikh ‘cantik’ 20.2.2020, Siti melancarkan single baharu sentuhan Kmy dan Luca berjudul 7 Nasihat.

Menggabungkan irama hip hop dan tradisional, lagu itu turut menampilkan pasangan duo terbabit, yang sebelum ini bekerjasama dengan ‘sifu muzik’, Datuk M Nasir melalui single Zuhud.

Difahamkan, single baharu ini adalah bingkisan awal sebelum album penuh penyanyi nombor satu negara ini dilancarkan pada 1 April depan.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan kerjasama Universal Music Malaysia boleh didapati di semua pelantar digital.

Berita Harian X