Jumaat, 21 Februari 2020 | 1:00pm
Hisyam mengabadikan foto kenangan bersama arwah Ashraf di Instagram. IG Hisyam Hamid
Hisyam mengabadikan foto kenangan bersama arwah Ashraf di Instagram. IG Hisyam Hamid

Hisyam kagumi kemuliaan hati Ashraf

KUALA LUMPUR: Kemuliaan hati Allahyarham Ashraf Sinclair terus dikongsi teman-teman termasuk pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid yang teringat kenangan membintangi drama bersiri eksklusif Dosa bersama aktor itu, kira-kira dua tahun lalu.

Hisyam berkata, sangkaan dirinya arwah yang ketika itu sudah membina reputasi di Indonesia berlagak sombong, meleset sama sekali sebaik bertemu.

“Arwah sangat baik dan merendah diri. Saya teringat sesi latihan pada hari Jumaat. Saya, arwah dan Remy Ishak berlatih sehingga basah kuyup berpeluh.

“Tanpa diduga, arwah mempelawa saya dan Remy ke rumahnya untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Saya tak sangka dilayan begitu. Arwah beritahu kami sudah seperti adik-beradik. Daripada situ, terserlah sikap arwah yang mulia. Beliau sangat menyenangkan dan positif dalam banyak perkara,” katanya kepada BH Online.

Hisyam, Remy dan Ashraf menjadi antara pelakon drama bersiri eksklusif Dosa terbitan Astro yang menjalani penggambaran di Indonesia selama dua bulan pada 2017.

Hisyam berkata, arwah yang memegang watak abang kepadanya dalam drama bersiri itu, juga berperanan sama di luar lokasi.

“Saya jatuh sakit ketika berada di sebuah pulau untuk menyudahkan penggambaran. Arwah datang menjenguk di bilik untuk melihat keadaan saya dan memberi minyak terapi.

“Arwah berpesan sapu minyak itu pada kaki dan pakai stokin. Keprihatinan arwah ketika itu membuatkan saya terharu... Sampai begitu sekali dia mengambil berat kawan-kawan,” katanya yang bersyukur mengenali arwah biarpun seketika.

Hisyam turut kagum dengan tahap disiplin dan dedikasi arwah terhadap karier.

“Pada sesi pembacaan skrip, arwah antara pelakon yang banyak bertanya soalan dan memberi idea agar menjadi lebih mantap,” katanya.

Paling berharga, kongsi Hisyam, mereka sempat berbual mengenai kehidupan ketika berehat.

“Arwah mengaku pernah melalui fasa turun-naik dan diuji sejak mula terjun dalam dunia seni sehinggalah berhijrah ke Indonesia selepas berkahwin dengan Bunga Citra Lestari.

“Arwah beritahu beliau pernah bekerja sambilan di sebuah premis pawagam di Malaysia dan sekarang, beliau jadi rakan kongsi bagi perniagaan sama di Jakarta.

“Di situ, jelas dilihat arwah bercita-cita besar dan mempunyai impian untuk berjaya dalam hidup,” katanya yang memuat naik entri ucapan takziah diiringi foto bersama arwah di Instagram, sejurus pemergian Ashraf.

Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Berita Harian X