X
Jumaat, 21 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Hazama akan memperdengarkan paduan suara menerusi single Tukul Dan Paku pada Konsert 4G’s. NSTP/Eizairi Shamsudin
Penyanyi, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Hazama akan memperdengarkan paduan suara menerusi single Tukul Dan Paku pada Konsert 4G’s. NSTP/Eizairi Shamsudin

Konsert 4G's simbol persahabatan

KUALA LUMPUR: Empat penyanyi popular, Akim Ahmad, Black Hanifah, Tomok dan Hazama berpadu suara menerusi single berjudul Tukul Dan Paku.

Bakal mendendangkannya sempena Konsert 4G’s yang julung kali menggabungkan mereka, lagu Tukul Dan Paku ciptaan khas oleh komposer, Aubrey Suwito dan S Samad. Ia dikatakan simbol persahabatan empat penyanyi itu.

Hazama berkata, lagu Tukul Dan Paku dicipta khas sempena konsert 4G’s.

“Kami menghasilkan single ini kerana konsert 4G’s terlalu istimewa buat kami. Inilah kali pertama gabungan kami dalam satu konsert. Peminat yang hadir boleh mendengar lagu Tukul Dan Paku terlebih dahulu.

“Jika diikutkan, kami sudah lama berbincang mengeluarkan single lagu paduan suara berempat. Cuma, kami tiada tujuan untuk menyanyikan lagu itu. Jadi dengan adanya konsert ini, kami kongsi lagu berkenaan.

“Terima kasih pada Black yang melontarkan idea untuk mengadakan konsert ini kira-kira tiga tahun lalu. Insya-Allah, kami akan memberikan persembahan terbaik untuk konsert 4G’s ini,” katanya kepada BH Online.

Hazama dan tiga penyanyi popular itu ditemui pada sidang media Konsert 4G’s di Istana Budaya. Konsert berkenaan akan diadakan di tempat sama pada 17 dan 18 April depan.

Berkongsi mengenai konsert selama dua jam itu, Hazama berkata, peminat akan dihiburkan dengan lagu-lagu saduran popular era 70-an hingga 2000.

“Di luar konsert, peminat sudah sering melihat kami menyampaikan lagu masing-masing. Jadi, kami akan mengetengahkan kelainan apabila peminat dapat menikmati lagu berbeza daripada kami.

“Selain itu, peminat juga sudah biasa melihat kami menyanyi secara solo, tetapi pada konsert 4G’s ini, kami akan mendendangkan kebanyakan lagu bersama,” katanya.

Susunan muzik diterajui oleh komposer dan pengarah muzik, Aubrey Suwito dengan gabungan dari pemuzik National Symphony Orchestra Istana Budaya menjanjikan kehebatan konsert selama dua malam.

Tiket konsert dijual dari harga RM98 hingga RM518 dan boleh didapati menerusi platform www.airasiaredtix.com. Penganjur menyediakan tempat duduk istimewa berharga RM988 sebanyak 16 tempat duduk pada setiap malam persembahan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X