Jumaat, 21 Februari 2020 | 12:19am
Rizalman menganjurkan Konsert Kesuma Jiwa 2020 untuk sahabatnya, Dayang Nurfaizah. - NSTP/Zaidi Mohamad
Rizalman menganjurkan Konsert Kesuma Jiwa 2020 untuk sahabatnya, Dayang Nurfaizah. - NSTP/Zaidi Mohamad

Rizalman bersara dari dunia fesyen

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim mengumumkan mengundurkan diri dari dunia fesyen selepas 30 tahun membina jenamanya.

Rizalman membuat pengumuman pada Konsert Kesuma Jiwa 2020 di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam tadi.

“Saya minta izin mengundurkan diri dari arena fesyen. Saya menyerahkan tanggungjawab kepada pembantu, Faizul Surani.

“Faizul sudah 15 tahun bersama saya. Keputusan ini dibuat sejak tahun lalu. Saya sudah lama berkecimpung dalam dunia fesyen.

“Selepas ini saya boleh fokus kepada cabang lain termasuk hiasan dalaman, kosmetik dan kecantikan,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya konsert.

Konsert itu disaksikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Konsert Kesuma Jiwa 2020 menampilkan Hael Husaini, Sherry Alhadad dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai konduktor muzik bagi koir.

Rizalman juga memperagakan koleksi terakhirnya sebagai pereka fesyen hasil kerjasama dengan gedung talian, Zalora.

Rizalman berkata, konsert itu dianggap terjemahan eratnya silaturahim bersama semua pengikutnya.

“Saya tukang jahit sahaja. Konsert ini juga tanda persahabatan saya dengan Dayang sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Dayang berkata, dia menghormati keputusan teman baiknya itu.

“Semestinya saya tertanya kenapa keputusan ini dibuat. Tetapi, apabila dilihat jauh, saya memahaminya.

“Pembabitan konsert malam ini juga menjadi momen manis buat saya dan Rizalman. Susah cari sahabat yang sanggup anjur konsert untuk teman baiknya,” katanya.

Pada konsert itu, Dayang mendendangkan lagu malar segar yang diberi nafas baharu mengikut penyampaian tersendiri.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Kesuma Jiwa, Bisikan Hati, Laksamana Raja Di Laut dan Tari Tualang Tiga.

Tak ketinggalan lagu popularnya, Di Pintu Syurga yang diberi lenggok asli.

Berita Harian X