X
Khamis, 20 Februari 2020 | 10:58pm
Komposer, Ajai selaku Ketua Juri, Anugerah Juara Lagu Ke-34. - NSTP/Rosela Ismail
Komposer, Ajai selaku Ketua Juri, Anugerah Juara Lagu Ke-34. - NSTP/Rosela Ismail

Tiada arahan tarik kemenangan Naim Daniel

KUALA LUMPUR: Ketua Juri, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Ajai mengesahkan belum menerima arahan daripada pihak TV3 berhubung kontroversi lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel yang diangkat juara AJL34.

Ajai berkata, biarpun ada pihak memohon kemenangan penyanyi berkenaan ditarik balik, namun dia berpendapat tindakan itu tidak wajar kerana lagu Sumpah bukan lagu ciplak, sebaliknya ia membabitkan isu peribadi.

“Saya mengetahui kekecohan lagu Sumpah sejak semalam lagi, tetapi belum ada wakil TV3 menghubungi saya. Secara peribadi, tiada sebab menarik kemenangan lagu berkenaan kerana bukan karya ciplak.

“Cuma, saya ingin mengingatkan generasi baharu, jika mereka ingin menceburi dunia muzik belajarlah bersikap jujur. Industri ini bukan untuk glamor tetapi berkongsi karya.

“Sekiranya lagu Sumpah ada tujuh pencipta, letak nama ketujuh-tujuh pencipta lagu. Ini bukan zaman 80-an atau 90-an yang mana lagu hanya dicipta seorang individu sahaja. Jika tidak mampu menghasilkan lagu dan perlu bergabung, maka bersikap jujurlah,” katanya kepada BH Online.

Lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel yang diangkat juara AJL34. - NSTP/Aswadi Alias
Lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel yang diangkat juara AJL34. - NSTP/Aswadi Alias

Penyanyi dan komposer itu berkata, sukar mencari penyanyi yang berkebolehan menghasilkan lagu dan lirik sendiri tanpa sokongan individu lain pada zaman ini.

Baginya, bukan satu masalah sekiranya penyanyi berkolaborasi kerana ia menjadi kebiasaan kepada penggiat seni muzik.

“Mereka perlu bersikap jujur kerana ia membabitkan soal pembahagian royalti.

“Saya tahu isu ini berkaitan peribadi, tetapi cuba bersikap jujur kerana ini bukan soal wang kemenangan AJL semata-mata, tetapi ia membabitkan royalti.

“Jika betul seperti yang didakwa pihak sana yang dia juga mempunyai hak terhadap lagu Sumpah, jadi Naim perlu mengagihkan pembayaran royalti sama rata,” kata Ajai.

Wanita yang didakwa bekas kekasih Naim, Dayana Amerda. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Wanita yang didakwa bekas kekasih Naim, Dayana Amerda. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Semalam, wanita yang didakwa bekas kekasih Naim, Dayana Amerda memberikan tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan bersama lagu Sumpah.

Dayana mendakwa, dia dan Naim mencipta lagu Sumpah pada 2015. Pada Julai tahun lalu, Dayana pernah menimbul isu berkaitan hak penciptaan lagu Sumpah, tetapi tiada penyelesaian.

Berita Harian X