Khamis, 20 Februari 2020 | 7:44pm

Naim pertahan mahu bukti, keluarga Dayana tersinggung

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan Naim Daniel, World Peace (WP) Entertainment Sdn Bdn mahu wanita yang mendakwa dirinya bekas kekasih penyanyi itu, mengemukakan bukti kukuh lagu Sumpah adalah milik dirinya dan artis naungan mereka.

Syarikat itu dalam kenyataan menyebut, sejak April tahun lalu, hak cipta lagu Sumpah menjadi milik Naim sebagai penulis lirik, manakala gubahan lagu dihasilkan bersama Omar K.

Bagaimanapun, WP Entertainment sedia menimbang tuntutan Dayana Amerda atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, 21, jika isu dibangkitkan benar dan muktamad.

“Kami tidak ada masalah menyelesaikan perkara dibangkitkan Dayana yang tampil bersama ibu, Che Rohaida Che Daud, peguam dan wakil Konsortium Rakaman Muzik Malaysia (Irama) pada sidang media, semalam.

“Tetapi mereka perlu kemukakan bukti seperti didakwa dengan cara menghantarnya menerusi e-mel.

“Kami kesali kesulitan dihadapi Dayana dan keluarga akibat isu hak cipta dan tuntutan seperti dinyatakan pada sidang media,” kata kenyataan itu.

Naim mendendangkan lagu Sumpah pada AJL34, baru-baru ini. Kontroversi berhubung penciptaan karya itu antara dirinya dan bekas kekasih, hangat diperkatakan sekarang. Foto NSTP/Aswadi Alias
Naim mendendangkan lagu Sumpah pada AJL34, baru-baru ini. Kontroversi berhubung penciptaan karya itu antara dirinya dan bekas kekasih, hangat diperkatakan sekarang. Foto NSTP/Aswadi Alias

Semalam, Dayana yang mendakwa dirinya bekas kekasih Naim, memberi tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan lagu Sumpah.

Dayana mahu pemenang trofi utama Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu bersikap jujur mengenai apa yang didakwa hak penciptaan bersama lagu berkenaan.

WP Entertainment menambah, pihaknya menyangka kes berhubung penciptaan lagu Sumpah antara Naim dan Dayana, selesai, tahun lalu,

“Kami amat terkejut apabila isu itu kembali dibangkitkan. Namun, ingin kami tegaskan sekali lagi, sejak 2019, lagu berkenaan menjadi hak mutlak nama-nama yang disebutkan tadi,” katanya.

Sementara itu, Che Rohaida pada sidang media semalam mendakwa, mereka ada bukti yang cukup untuk menyelesaikan isu berkenaan, termasuk pilihan membawa pertikaian berhubung penciptaan lagu Sumpah, ke mahkamah.

Dayana (kiri) bersama Che Rohaida ketika sidang media berhubung isu lagu Sumpah di Kota Damansara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Dayana (kiri) bersama Che Rohaida ketika sidang media berhubung isu lagu Sumpah di Kota Damansara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Kalau boleh, kami mahu selesaikan cara baik, tak mahu mengata di belakang.

“Jadi kami tampil untuk meminta kebenaran. Dayana juga sedang mengandung, mungkin ada emosinya yang perlu dijaga. Ini kerana apabila timbul hal ini, risau kata-kata netizen mengganggu emosinya,” katanya.

Che Rohaida mendakwa Naim dan keluarga ada menghubungi mereka, sehari sebelum sidang akhbar berlangsung.

“Apabila keluarganya dapat tahu kami mahu mengadakan sidang media, ibu Naim menelefon saya, tapi saya tidak jawab. Saya tidak pasti bagaimana ibu Naim dapat tahu mengenai sidang akhbar itu.

“Namun, atas faktor keselamatan, kami berkomunikasi melalui ‘voice note’ dan kakak Naim masuk campur,” katanya.

Che Rohaida mendakwa, ada kandungan dalam rakaman ‘voice note’ itu dianggap keterlaluan dan tidak sepatutnya diluahkan mereka.

“Kalau orang boleh dengar ‘voice note’ yang diberi, orang boleh nilai sendiri. Ada perkara yang tidak sepatutnya keluar dari mulut mereka. Kami tak mahu buka di sini, biarlah kami simpan sebagai bukti,” katanya.

Che Rohaida berkata antara perkara yang membuatkan mereka tersinggung adalah kenyataan kakak Naim yang didengari melalui ‘voice note’ yang didakwanya, ibu Naim mencadangkan penyanyi itu memberi sedikit sedekah hasil kemenangan pada AJL34. kepada Dayana.

“Itu yang membuatkan saya dan Dayana terasa. Kami bukan minta sedekah, itu hak dia (Dayana),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X