Khamis, 20 Februari 2020 | 8:30am
Siti yang melancarkan single baharu 7 Nasihat hari ini, sentiasa terbuka mencuba formula baharu demi mendekati pendengar muda. Foto Ihsan SNP
Siti yang melancarkan single baharu 7 Nasihat hari ini, sentiasa terbuka mencuba formula baharu demi mendekati pendengar muda. Foto Ihsan SNP

Siti cuba hip hop pula

KUALA LUMPUR: Memilih tarikh ‘cantik’ hari ini, Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan single baharu sentuhan duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta berjudul 7 Nasihat.

Menggabungkan irama hip hop dan tradisional, lagu itu turut menampilkan pasangan duo terbabit, yang sebelum ini bekerjasama dengan ‘sifu muzik’, Datuk M Nasir melalui single Zuhud.

Mengulas mengenai taruhan terbarunya itu, apatah lagi kali terakhir tampil dengan lagu irama hip hop bersama Too Phat, kira-kira 15 tahun lalu, Siti mengaku tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa.

“Peluang berganding dengan duo hip hop menjadi salah satu cara saya mendekati peminat muzik dan pendengar lebih muda.

“Saya anggap karya ini cukup istimewa kerana menggabungkan genre muzik hip hop, rap dan tradisional.

“Lagu ini juga diharap menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali,” katanya kepada BH Online.

Menyedari irama hip hop menguasai radio dan cita rasa peminat sekarang, Siti menganggap tidak salah bagi dirinya peka dengan pasaran muzik semasa.

“Biar apapun, saya terus setia dengan genre muzik yang saya perjuangkan selama ini termasuk irama tradisional,” katanya.

Mengulas pengalaman bekerjasama dengan Kmy dan Luca yang juga komposer dan penerbit meningkat naik, Siti kagum dengan kreativiti mereka.

“Paling utama, lagu ciptaan mereka penuh nasihat dan memberi peringatan baik. Semoga lagu ini dapat dihayati sebaik mungkin oleh semua,” katanya yang merakamkan single berkenaan di Pro Studio Cheras pada 5 Februari lalu.

Difahamkan, single baharu ini adalah bingkisan awal sebelum album penuh penyanyi nombor satu negara ini dilancarkan pada 1 April depan.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan kerjasama Universal Music Malaysia boleh didapati di semua pelantar digital, hari ini.

Berita Harian X