Rabu, 19 Februari 2020 | 4:19pm

Bunga Citra Lestari ziarah pusara suami

KUALA LUMPUR: Bunga Citra Lestari (BCL) hari ini dilaporkan menziarahi pusara arwah suami, Ashraf Sinclair di San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat.

BCL yang memakai persalinan warna biru muda, dipercayai ditemani beberapa ahli keluarganya, lapor KOMPAS.com.

Kunjungan BCL ke tanah perkuburan itu disahkan pengurusnya, Doddy.

Sementara itu, video memaparkan beberapa ahli keluarga penyanyi itu yang berpakaian hitam sedang bersiap-siap untuk melawat pusara arwah, boleh ditonton di sebuah saluran YouTube, sejak pagi tadi.

Turut dipaparkan, kelibat BCL keluar dari rumah dan menaiki kenderaan hitam.

Pagi semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Selain meninggalkan balu, arwah Ashraf meninggalkan anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.

Pusara arwah Ashraf terus dikunjungi anggota keluarga termasuk BCL pada hari kedua pemergiannya. - NSTP/Rosela Ismail
Pusara arwah Ashraf terus dikunjungi anggota keluarga termasuk BCL pada hari kedua pemergiannya. - NSTP/Rosela Ismail

Sejak bernikah dengan BCL pada 2008, Ashraf menetap di Indonesia dan mengembangkan karier dalam industri hiburan di republik itu.

Membintangi filem Saus Kacang bersama isterinya, arwah terbabit dengan 13 drama televisyen (TV) atau sinetron sejak 2008.

Berita Harian X