X
Rabu, 19 Februari 2020 | 1:56pm
Yuna berkongsi foto ibu dan bapa mentua, Adam serta Aishah yang memegang potret arwah Ashraf setibanya di Jakarta. Foto Twitter Yuna
Yuna berkongsi foto ibu dan bapa mentua, Adam serta Aishah yang memegang potret arwah Ashraf setibanya di Jakarta. Foto Twitter Yuna

Kami rindu Ashraf - Yuna

KUALA LUMPUR: Penyanyi menempa nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengutuskan ucapan takziah atas pemergian abang iparnya, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Yuna yang baru tiba di Jakarta dari Los Angeles (LA), mengakui mereka sekeluarga merindu Ashraf.

“Terima kasih semua atas kiriman mesej. Kami cukup merindui Ashraf. Alhamdulillah, saya dan Adam kini berada di Jakarta bersama keluarga,” tulis Yuna melalui Twitter.

Yuna turut berkongsi foto ayah dan ibu mentuanya, Mohamad Anthony John Sinclair serta Khadijah Abdul Rahman. Turut serta, suaminya, Adam serta kakak ipar, Aishah Sinclair yang memegang potret arwah.

Foto berkenaan diiringi ucapan al-Fatihah dan dan tarikh kelahiran dan pemergian arwah iaitu 18 September 1979 hingga 18 Februari 2020.

Ciapan yang dilayangkan kira-kira 45 minit lalu, pantas mendapat perhatian pengikut. Ramai peminat menantikan Yuna berkongsi entri di media sosial selepas pemergian Ashraf, semalam.

Pagi semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Berita Harian X