X
Rabu, 19 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Black Hanifah tidak cedera apabila terjatuh ketika perlumbaan sukan permotoran lasak pada Isnin lalu. Foto Ihsan IG Black Hanifah.
Penyanyi, Black Hanifah tidak cedera apabila terjatuh ketika perlumbaan sukan permotoran lasak pada Isnin lalu. Foto Ihsan IG Black Hanifah.

Black tak serik berlumba

KUALA LUMPUR: Pengalaman terhempas badan atas batu hingga menyebabkan sukar bernafas tidak membuatkan penyanyi, Black Hanifah serik berlumba.

Black terjatuh selepas terbabit dengan sukan permotoran lasak di Ulu Yam berkata walaupun pernah patah tangan, itu tidak mematahkan semangat sebagai pelumba motosikal lasak.

“Sukan permotoran adalah minat saya, selain bermain bola sepak dan memandu kereta empat roda. Saya tahu sukan ini berisiko tinggi. Saya perlu berhati-hati tetapi jatuh dikira lumrah, naik tangga pun kita boleh jatuh, inikan pula bermain sukan permotoran lasak.

“Saya tak sangka kemalangan akan terjadi, tetapi saya selamat kerana memakai pakaian keselamatan yang lengkap. Jangan ingat kita sudah bagus menyertai perlumbaan seperti ini dan tidak memakai pakaian keselamatan.

“Alhamdulillah, saya tidak tercedera apabila memakai baju keselamatan. Pada ketika itu, memang sakit kerana saya jatuh ketika sedang melompat disebabkan tidak seimbang dan badan terhempas atas batu,” katanya kepada BH Online.

Isnin lalu, Black mengejutkan ramai apabila terbabit dalam kemalangan ketika menyertai program perlumbaan motosikal lasak, CKD MX Series yang dianjurkan olehnya bersama Achey di Ulu Yam. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Black mengadu sukar bernafas selepas terjatuh.

Black dibawa ke hospital oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudiannya menjalani pemeriksaan termasuklah ujian X-Ray di hospital berdekatan.

“Mujur ada APM membantu. Mereka memeriksa saya dan mengatakan tiada yang patah tetapi disebabkan hentakan yang kuat ia menyukarkan saya bernafas.

“Disebabkan itu, isteri tidak berpuas hati dan mahu membuat X-Ray. Syukur apabila dimaklumkan tiada apa yang patah, saya cuma diberi ubat tahan sakit.

“Saya dibenarkan pulang dan kembali ke Ulu Yam bagi menghabiskan acara sejam kemudian” katanya.

Bagaimanapun, Black atau nama sebenar, Mohd Hanifah Md Hanafiah tidak menafikan kurang rehat adalah faktor pada kemalangan berkenaan.

“Sebelum itu, saya dari Penang dan keesokan pagi terus berlumba tanpa tidur yang cukup. Sememangnya kalau mahu berlumba kena cukup tidur, ini kesilapan saya,” katanya yang sudah dua tahun berkecimpung dalam sukan permotoran lasak.

Juara program realiti Mentor 3 itu ditemui pada sidang media Konsert 4G’s di Istana Budaya. Konsert yang menggabungkan Black bersama Akim Ahmad, Tomok dan Hazama akan diadakan di tempat yang sama pada 17 dan 18 April depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X